Sunday, March 13

SEMUSIM TANPAMU

 

Pagi yang sukar buat kau rasa resah

Walau pun aku jatuh

Aku kan bangun dengan wajah ceria

Mari, mulakan mengejar mimpi

yang tiada penamat

 

Ku tetap tahu kau di situ

Tak kira berapa batu jauhnya

Semusim tanpa dirimu

Hidupku tak jelas lagi

Suara itu

Senyuman itu

Bermain di tubir mata

 

Tak perluku madahkan semuanya

Akalku melayang di bawah mentari terang

Kadang kala kuberharap pada hari

Hari yang tak mungkin kembali

 

Fatini Zulkarnain                              20 Disember 2009

CINTA UNTUK BINTANG (POST KESEBELAS PART KEDUA)

Cawan bersambut. Ila terus duduk di sebelah Puan Anita. Ikram duduk bertentangan dengan mereka, membiarkan meja kopi menjadi pemisah.

“Saya tak percaya dengan apa yang Encik Ikram cakap. Saya dah anggap Erwin macam anak saya sendiri,” kata Puan Anita.

“Sebab itu saya bawa bukti sekali,” Ikram menunjukkan beberapa helaian kertas yang bertulis pelbagai jenis nombor. Puan Anita semakin tercengang.

“Habis tu, siapa yang telefon beritahu pasal show?” tanya Ila.

“Itu kerja saya. Saya sengaja telefon Puan Suhaila sebab puan satu-satunya orang yang tak pernah jumpa Erwin lagi,”

“Jadi, kenapa Encik Ikram telefon Amir pasal show dia kat Kuala Lumpur? Kenapa tak telefon saya saja?”

“Telefon Amir? Saya tak pernah telefon Amir. Ini mesti perangkap,” kata-kata Ikram menggusarkan Ila dan Puan Anita.

“Macam mana ni?” tanya Puan Anita.

“Puan, kita mesti buat Erwin percaya yang perangkapya dah mengena. Saya ada rancangan…” kata Ikram penuh keyakinan.

Saturday, March 12

AKU DAH LAMA BERHENTI BERHARAP

 

Aku dah lama berhenti berharap

Berhenti mengharapkan tuah

Berhenti mengharapkan masa

Berhenti mengharapkan kasih sayang

Berhenti mengharapkan kasihan

Berhenti mengharapkan insan

berhenti mengharapkan cinta

berhenti mengharapkan kenangan

berhenti mengharapkan kegembiraan

 

aku kini berharap

berharap pada kesepian

berharap pada kesunyian

berharap pada keseorangan

berharap pada kesengsaraan

berharap pada kesakitan

berharap pada kemusnahan

berharap pada kerosakan

berharap pada kengiluan

jangan pernah paksa aku berhenti berharap pada TUHAN!!!

 

Fatini Zulkarnain                               3 November 2010

CINTA UNTUK BINTANG (POST KESEBELAS PART PERTAMA)

Petang itu hanya Ila dan Puan Anita sahaja yang berada di rumah. Amir keluar entah ke mana. Puan Anita perasan Ila asyik mengelamun dan kadang-kadang tersenyum seorang diri.

“Apa yang Ila tengok sampai senyum kat dinding tu?” tanya Puan Anita.

“Eh, tak ada apa-apa,mama. Ila cuma rasa seronok tak lama lagi dapat balik. Itu saja.”

“Seronok balik Malaysia ke, seronok balik dengan Amir? Mama tak kisah sebab korang dah jadi suami isteri. Jadi tak hairanlah kalau ada terbit sedikit rasa cinta walaupun sebesar zarah atom.”

“Mama ni…”

Tiba-tiba kedengaran pintu rumah diketuk orang. Sebaik sahaja pintu dibuka, kelihatan seorang lelaki berambut pacak dan berkaca mata hitam.

“Assalamualaikum. Saya mencari Ayu Suhaila. Dia ada?” tanya lelaki itu.

“Siapa tu, mama?” Ila bertanya apabila namanya disebut.

“Nama saya Ikram. Saya seorang penyiasat persendirian. Saya sedang menyiasat penyelewengan yang dilakukan kepada suami puan, Amir oleh pengurusnya, Erwin.”

Friday, March 11

PERMINTAAN KU

 

Mengapa kita bertemu

Di bawah cahaya senja nan sepi

Walau pun ku cuba menyusun bicara

Takkan mampu menyatukan dua hati jauh terpisah

 

andai kau lambaikan tangan

bersama senyum mesra

mungkin senja sepi itu

kelihatan lebih indah

 

Andai dapat kau tunaikan

Satu-satunya permintaanku

Kuberharap kisah cinta luka ini

Takkan terjadi

 

Fatini Zulkarnain                                   19 Mac 2010

CINTA UNTUK BINTANG (POST KESEPULUH)

 

“Amir! Makanlah sayur tu. Nanti awak tak ada tenaga nak menyanyi,” katya Ila sambil membasuh pinggan.

“Ala… Saya tak sukalah makan sayur. Lagipun hari ni mana ada show. Masaklah benda lain,” pinta Amir.

“Jangan bagi alasan. Amir mesti makan sayur tu jugak.”

“Ila… Erwin dah bagi Amir cuti. Bagilah Amir makan apa yang Amir nak.”

“Jangan nak mengada. Makan sayur …” gelas jatuh besebelahan kaki Ila. Serpihan kacanya menyebabkan kaki Ila berdarah. Amir terus menerpa dan mengangkat Ila. Haruman minyak wangi menerjah rongga hidung Amir. Haruman yang menyenangkan hati. Ila diletakkan di ruang tamu. Luka di kaki Ila diteliti. Puan Anita muncul.

“Kenapa ni?” Tanya Puan Anita.

“Gelas pecah, Ma. Kaki Ila luka. Mama tolong ambilkan kotak first-aid,” kata Amir. Puan Anita menurut. Kotak petolongan cemas dihulur. Amir menyapu antiseptik sebelum membalut luka Ila. Entah mengapa, sentuhan tangan Amir membuatkan dada Ila berdebar kencang. Wajah cemas suaminya membuatkan dia terfikir:

‘Ambil berat juga dia pada aku.’

Selesai membalut luka, Amir mengambil tempat di sebelah Ila. Ila berasa tidak selesa. Sebaik sahaja Ila berdiri, Amir memegang tangan Ila. Ila tergaman.

“Ila nak pergi mana?” Tanya Amir.

“Nak… bersihkan kaca …kat dapur,” terketar-ketar Ila menjawab.

“Tak payah Ila. Hari ni Ila berehat je. Semua kerja rumah biar Mama yang buat. Amir, jaga isteri kamu baik-baik,” kata Puan Anita. Dia kemudian berlalu meninggalkan Amir dan Ila. Tatapan mata Amir membuatkan Ila semakin menundukkan muka.

“Kita dah lama tinggal sebumbung, tapi Ila tak pernah bercerita pasal diri Ila,” kata Amir.

“Apa yang Amir nak tahu?”

“Okey, kita start dengan keluarga. Mak dan ayah Ila tahu ke Ila datang Singapura?”

“Mak ayah Ila meninggal masa umur Ila 13 tahun. Ila tinggal kat rumah anak yatim lepas tu,” kata Ila, sedih.

“Kenapa Ila datang ke Singapura?”

“Ila nak buat kerja halal. Tapi tak sangka keadaan jadi macam ni.”

“Jadi, Ila menyesal kahwin dengan Amir?”

“Tak. Kalau ini suratan, Ila terima dengan redha. Lagipun, Amir bukannya teruk sangat,” Ila senyum. Senyum yang mampu menggetarkan jiwa anak Adam.

“Em… kalau Ila dapat peluang balik ke Malaysia, Ila akan pergi ke mana?”

“Ila sebenarnya dah lama nak pergi karnival Jom Heboh kat Stadium Putra Bukit Jalil. Orang kata karnival kat situ memang best sebab Jom Heboh akan berakhir kat situ,” jujur Ila menjawab. Mata mereka bertembung. Tangan Amir semakin menghampiri pipi Ila. Pada saat itulah telefon berdering.

‘Kacau daun sungguh telefon ni,’getus hati Amir. Amir bergerak ke halaman rumah, meninggalkan Ila terkebil-kebil di ruang tamu.

‘Kenapa dengan aku ni? Jangan-jangan aku ada hati kat dia kot,’ hati Ila tidak keruan. Ila asyik membayangkan tatapan mata Amir sebentar tadi. Ila membetulkan duduk sebaik sahaja Amir mendekatinya.

“Ila, kita akan ke Malaysia!” Amir bersorak riang.

Thursday, March 10

VERSACE DAN ADIDAS

 

Perempuan pakai beg branded = Versace

Lelaki pakai beg tak ada brand = Adidas

Tapi

Perempuan pakai beg tak ada brand = ?

Lelaki pakai beg branded = ?

 

Perempuan pakai mekap = Versace

Lelaki pakai gadget = Adidas

Tapi

Perempuan pakai gadget = ?

Lelaki pakai mekap = ?

 

Perempuan shopping baju sampai subuh = Versace

Lelaki tengok bola sampai subuh = Adidas

Tapi

Perempuan tengok bola sampai subuh = ?

Lelaki shopping sampai subuh = ?

 

Kalau aku

Perempuan kaya, anak Dato’ = Versace

Dan dia

Lelaki miskin, anak Atok = Adidas

Tapi aku

Perempuan miskin, rumah kayu = ?

Juga dia

Lelaki kaya, rumah banglo = ?

 

Sedangkan Versace dan Adidas

Tak pernah sebutik sekedai

Inikan pula aku dan dia

Fatini Zulkarnain                                  24 Ogos 2010

Wednesday, March 9

CINTA UNTUK BINTANG (POST KESEMBILAN)

Mudahnya engkau bicara

Hanya menguji semata

Tapi hatiku yang merana

Saat kau bilang hatiku berdusta

 

Air mata ini bergenang

Bukan kerna aku tak matang

Ku tahu rasa itu hilang

Ku tahu percayamu melayang

 

Mengapa perasaanku yang kau dugakan

Setiaku padamu tak pernah padam

Adakah kita hanyalah satu kesalahan

 

Sayangku

Aku terlalu menyintaimu

Sayangku

Diri ini hanya untukmu

 

Jangan pernah persoal kasih dan cinta

Selama-lama

 

Erwin terkesima. Buat pertama kali dalam tempoh sebulan Erwin ‘menghilang’, single kedua Amir yang tak jadi dipromosikan didengar di corong radio. Ini bermakna populariti Amir sudah meningkat semula. Tapi macam mana Amir boleh tahu semua job yang aku tak pernah bagitahu pada dia? Ini tidak boleh jadi. Kalau macam ni habis semua rancangan aku. Aku mesti bertindak. MESTI!!!

KISAH KASIH BEBAYANG MENTARI

 

Keletihan takkan pernah ada

Andai sepanjang malam kisah kasih berbicara

Diri ini ditelan gelombang membara

Hanya memikirkan soal cinta

 

Walaupun ku berenang dalam memori

Realitinya kering dan dingin

Aku ingin mengakui cinta ini

Jadi di mana mestiku mulai

 

Umpama langit nun menjauh

Dirimu tak bisa kugapai

Kuberjanji dari hati

akan bersamamu ke mana jua

 

walaupun kufahami satu hari nanti,

ku tetap mencintaimu

walaupun ku lawan ia

dari subuh hingga senja

 

dikala diri kecil ini

terbayang padang tempat bermain

ku masih melihat diriku yang dulu

ku akan mengejar kisah kasih

antara bebayang dan mentari.

 

Fatini Zulkarnain                               03 Oktober 2010

Tuesday, March 8

CINTA UNTUK BINTANG (POST KELAPAN)

 

Pagi yang sungguh indah buat Ila. Sambil duduk menghayati alam ciptaan Tuhan, tiada salahnya kalau membaca surat khabar. Diselaknya sehelai demi sehelai. Hayunan tangannya terhenti pada satu tajuk besar di ruangan hiburan:

AMIR TIADA DISIPLIN, DIPENGARUH ISTERI

Tersirap darah Ila melihat tajuk artikel itu. Dibacanya perenggan demi perenggan. Ila seperti dipersalahkan kerana Amir tidak pergi membuat persembahan seperti yang dijanjikan, padahal wang pendahuluan telah dibayar. Kononnya, Ila dikatakan mengongkong Amir. Padahal sejak akhir-akhir ini, Amir sering keluar. Kalau tak buat show, Amir pergi mana?

Telefon di atas meja berdering. Surat khabar ditinggalkan.

“Hello,” sapa Ila.

“Hari ni Amir ada show kat Great Plaza pukul 10.00 pagi, sempena 5 tahun penubuhan plaza itu. Dia akan menyanyi 3 buah lagu. Tak kurang, lebih atas permintaan. Telefon Encik Chua sekarang,” arah pemanggil itu.

“Siapa ni?” Talian diputuskan sebaik sahaja Ila membuka bicara. Tanpa berfikir panjang, Ila terus ke bilik dan mengambil telefon bimbit Amir. Dengkuran Amir yang sangat kuat menyakinkan Ila betapa lenanya Amir. Mujurlah Amir ada menyimpan nombor telefon seseorang bernama ‘Chua’. Lantas nombor itu didail.

“Hello, Amir. Awak kat mana? Dah lama saya tunggu. Awak nak nyanyi lagu apa hari ni?” Suara lelaki 30-an loghat Cina menerjah gegendang telinga Ila.

“Hello, saya wakil dari Encik Amir Azmi. Dia akan hadir hari ni. Saya cuma nak tetapkan lagu yang akan dinyanyikan oleh Encik Amir supaya pihak tuan bolah bersedia,” Ila cuba menukarkan suaranya persis suara operator, dan nampaknya berjaya. Encik Chua menerimanya tanpa sebarang prasangka. Sekarang, tugas Ila yang seterusnya ialah mengejutkan Amir.

BANGKAI TERBUANG

 

Darah beku

Di tubuh kaku

Hembus nafas

Terganggu

Kirinya

Tin karat

Berulat

Kanannya

Daging busuk

Berkulat

 

Rumput layu

Mengalas tubuh kaku

Malam kelam

Tak memberi perlindungan

Tak memberi jawapan

Darah siapa di badannya?

Darah beku itu

Tidak keluar

Dari tubuh kakunya

Habis?

Darah siapa?

 

Tak sempat

Jawapan diraih

Hembus nafas

tak terdengar lagi

dia kini

bangkai terbuang

Fatini Zulkarnain                                   24 Mei 2010

Monday, March 7

CINTA UNTUK BINTANG (POST KETUJUH)

“Erwin bin Farid. Seorang pengurus artis. Pendidikan yang paling tinggi, ijazah sarjana pengurusan seni. Sekarang menjadi pengurus kepada Amir Azfar. Takde lagi ke maklumat lain untuk suspek ni?” Tanya Ikram. Cheryl hanya menggeleng kepala.

“Dah puas saya cari. Itu jelah maklumat yang ada. Suspek ni memang licik, bos,” kata Cheryl. Kes penipuan pengurus artis ini membuatkan tugasnya sebagai pembantu penyiasat persendirian tercabar. Dia terpaksa mencari maklumat suspek dan pada masa yang sama mengelakkan campur tangan pihak media.

“Kalau macam tu saya nak maklumat tentang artis yang dia uruskan sekarang, Amir Azfar,” minta Ikram lagi. Cheryl terus mengeluarkan sebuah fail merah jambu yang dihiasi dengan pelbagai kertas warna. Gambar Amir sedang tersenyum dengan pose yang menarik terpampang di kulit muka fail tersebut. Ikram menjeling Cheryl yang tersenyum kambing.

“Fanatik jugak awak dengan budak Amir ni.”

“Tak delah, bos. Nak buat macam mana. Naluri wanita. Muka dia dahlah jambu, suara macho pulak tu. Perempuan mana yang tahan…”

“Tak pelah. Sekurang-kurangnya saya ada maklumat lengkap tentang Amir Azfar.”

“Tapi kan, bos, dalam ramai-ramai artis, kenapa Amir jugak yang dia nak tipu?”

“Sebab Amir kan terlalu muda dan terlalu popular. Itu modus operandi Erwin. Dia perlukan artis setahun jagung supaya senang dia tipu duit diorang.”

“Kesian Amir. Kita kena tangkap Erwin tu bos.”

“Masalahnya Cheryl, kita tak ada bukti. Awak sendiri yang cakap Erwin tu licik. Dia boleh cover kerja jahat dia dengan wang dab pengaruh. Erwin mesti kenal setiap orang yang rapat dengan Amir. Kita kena cari orang yang rapat dengan Amir dan pada masa yang sama Erwin tak kenal orang tu.”

“Cakap pasal Amir, tadi say abaca dalam surat khabar dia kena tangkap basah. Kesian Amir. Saya tak percaya dia buat macam tu. Sebelum ni dia tak ada skandal dengan sesiapa pun,” kata Cheryl. Ikram dapat mengesan sesuatu.

“Itu tandanya Erwin nak cari mangsa baru. Kita kena bertindak cepat, kalau tidak kerjaya Amir sebagai penyanyi aka terkubur selamanya. Apa jadi dengan diorang?” Tanya Ikram ingin tahu.

“Diorang dikahwinkan tanpa bantahan. Oh, baru saya faham. Kalau Amir kena tangkap basah, peminat dia akan pandang serong pada Amir. Lagi pun, dia kan dah jadi suami orang, takkanlah peminat perempuan terhegeh-hegeh nak kejar dia lagi kan?”

“Pandai pun Cheryl. Tau takpe. Kalau macam tu saya nak nombor telefon isteri Amir, boleh?” Tanya Ikram.

“Ala bos ni, macam tak kenal saya pulak. Ini Cheryllah, lebih hebat dari wartawan tau.”

ESTETIKA TIGA CINTA

 

Lembaran diselak

Ayat diucap

Layar dibuka

 

Fakta menerobos minda

Fiksi menerobos imaginasi

Gabungan keduanya

Membuka cerita

 

Madah-madah indah

Dari kata ke baca

Dari baca ke kaca

Dan dari kaca ke semesta

 

Membuat yang luluh

Merasa senang

Yang buta

Celik sentiasa

Yang bisu

Mampu bersuara

 

Sastera itu angin

Buku itu laut

Filem itu alam

 

Fatini Zulkarnain                             18 September 2010

Sunday, March 6

CINTA UNTUK BINTANG (POST KEENAM)

“Huargh… ngantuknya! Lebih baik masuk tidur,” Amir menggumam sendirian. Televisyen yang masih terpasang ditutp dan ruang tamu digelapkan. Apabila pintu bilik dibuka, Ila sudah nyenyak tidur di atas tilam empuk milik Amir. Sebiji bantal peluk diletak betul-betul di tengah katil. Ila tidur di sebelah kiri bantal peluk tersebut. Amir terus membaringkan diri di sebelah kanan katil. Hatinya tak habis-habis menympah-seranahkan Ila. Amir cuba-cuba mengusik Ila dengan meletakkan tangan kanannya ke muka Ila sambil matanya tertutup rapat. Ila menolak tangan tersebut dan menyiku bantal peluk itu beberapa kali. Ia betul-betul mengenai hidung mancung Amir. Amir bertambah geram, dia pukul telinga dengan bantal sebelum sambung tidur. Ila tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Amir angkat muka. Ila tiada di tempatnya. Rupa-rupanya Ila beralih tidur di sofa panjang yang ada dalam bilik itu tanpa bantal atau selimut. Suhu penyaman udara yang agak sejuk itu membuat Ila merapatkan lutut ke dadanya. Amir tersenyum puas lalu tertidur.

Seminggu berlalu, Puan Anita semakin rapat dengan Ila. Amir berasa disishkan dan cemburu melihat kemesraan Ila dan ibunya. Jadi, dia akan ke studio untuk berlatih menyanyikan lagu terbarunya. Itu membuatkan Ila dan Puan Anita lebih akrab.

Petang itu, Puan Anita ke kedai runcit. Ila berseorangan di rumah. Jadi kesempatan yang ada digunakan untuk mengemas rumah. MP3 dipasang dan mulut Ila terkumat-kamit mengikut lirik lagu yang didengarnya. Ngauman Mini Cooper Amir tak didengar langsung. Sewaktu Amir keluar dari kereta dia mendengar suara sumbang. Dia bukan tertarik kepada suara tersebut, tetapi kepada bait-bait kata yang diucap.

Siapa aku di masa depan?

Soalan itu masih tinggal soalan,

Dan bila masanya tiba,

Ku harap saat kemuncak hidup ini

akan ada kamu

selalu ada kamu

Itu lagu yang menaikkan nama Amir sehingga luar biasa popular. Dia tak sangka yang Ila tahu lagu tu. Di pintu, dia melihat Ila sedang mengemas ruang tamu sambil setiap langkahnya mengikut rentak lagu. Amir hanya berdiri di sana. Sehinggalah Ila membersihkan bingkai gambar, dia terlihat kelibat Amir di cermin bingkai terbabit. Dia terkejut lantas menoleh ke arah Amir. Ila menjelaskan.

“MP3 ni saya beli pada hari pertama saya di Singapura. Kebetulan lagu ni memang dah ada dalam ni. Saya dengar je, saya tak tahu apa-apa pun. Kalau awak tak suka saya boleh buang. Lagipun ni bukan lagu yang saya suka. Saya suka dengar lagu ni,” Ila menekan butang MP3 beberapa kali.

“Ha… Ni dia. ‘Cinta Terakhir’,” kata Ila lalu pergi ke dapur, meninggalkan Amir berseorangan di ruang tamu.

‘Tak tanya pun,’ Amir berbisik sendirian.

SANG SENANDUNG

 

Sudah jauh ku bersenandung

Sampai ke dunia yang hujung

Adakah senandungku bersahut

Atau dibiar tanpa kalut?

 

Kesian sang senandung

Dibiar sangsi

Dilihat mati

Didengar tuli

 

Sabarlah sang senandung

Ku percaya

Satu hari nanti

 

Ada yang sudi mendengar senandung

Ada yang bangga melihat senandung

Ada yang mengangkat senandung

Hingga tak terjangkau awan bersenandung.

 

Dan dia,

Akan tersenyum bersama senandung.

 

Fatini Zulkarnain                                    7 Mac 2011

CINTA UNTUK BINTANG (POST KELIMA)

“Terima kasih sebab tolong aku. Akhirnya, dapat juga aku lepaskan diri dari budak hingusan tu. Kaulah kawan aku yang paling baik, Johny,” kata Erwin. Gelas mereka diangkat dan dilagakan. Restoran mewah Itali yang menjadi pilihan mereka membuatkan sesiapa sahaja yang menjamu selera di situ merasakan diri mereka mewah dan berduit.

“Ha! Ha! Takde apa-apa sangat. Kebetulan budak tu aku nak jadikan pelacur kat sini. Alang-alang kau dah mintak, aku tolong jelah. Apapun 25%,” kata Johny. Mereka ketawa lagi.

“Lepas aku lingkupkan budak tu, aku ingat nak angkat kakilah. Pergi seberang Tambak Johor. Ramai artis yang aku boleh buat duit kat sana,” kata Erwin.

“Nanti bila sampai sana kau jangan lupakan aku pula. Kalau ada masalah, call aku, okey?” kata Johny. Semakin galak mereka ketawa.

‘Padan muka engkau, Amir. Lepas ni bila kau dah takde job, jangan harap kau nak tunjuk muka kau kat orang lagi,’ kata hati Erwin, penuh kebencian. Tanpa mereka sedari, gerak-geri mereka berdua diperhatikan jejaka berbaju hitam. Rambutnya yang agak terpacak membuat dia kelihatan lebih kebudak-budakan daripada usia sebenar. Mejanya terdapat beberapa cawan kosong dan matanya hanya menatap Erwin yang masih ketawa.

Saturday, March 5

SYAIR RINTIHAN JIWA

 

Mulanya aku melangkah sendiri

Tanpa teman ke sana ke mari

Seorang diri ilmu kucari

Gigih berusaha walaupun sepi

 

Engkau hadir bawa cahaya

Menerangi alamku yang buta

Sebagai teman kita bersama

Adab sopan masih dijaga

 

Tapi mengapa ramai yang cemburu

Dijeling hebat setiap waktu

Apakah salahku apakah salahmu

Apakah salah kita bertemu

 

Realiti kini memang berbeza

Semakin singkat perjumpaan kita

Akur dengan undang-undang manusia

Jika dilanggar terseksa jiwa

 

Aku ini hanyalah dagang

Seorang insan hidup menumpang

Sudah jauh kasih dan sayang

Mengharap belas walau segantang

 

Cinta yang hadir di dalam diri

Bukan mainan atau ilusi

Cinta ku ikhlas, jujur dan murni

Harap berakhir sampai ke mati

 

Tapi hatiku menangis lagi

Walau wajahku senyum berseri

Setiap patah kata disaji

Bagaikan sembilu menikam sanubari

 

Padamu Tuhan ku menadah tangan

Biarlah kasih ini berpanjangan

Jauhkan segala fitnah dan syaitan

Semoga ke syurga kami berkekalan

 

Namun hatiku tetap merintih

Jiwaku tetap merasa pedih

Mereka terus buatku sedih

Aku yang merasa getir dan perih

Fatini Zulkarnain                             14 September 2009

Friday, March 4

CINTA UNTUK BINTANG (POST KEEMPAT)

‘Apalah malang nasib aku. Job aku dah lah kurang. Terpaksa kahwin dengan minah ni lagi. Campur dengan berita ni tersebar satu Singapura. Makin kuranglah job aku. Erwin pun satu, bila aku nak lawan, dia cakap just go with the flow. Ada banyak bukti kukuh. Lebih baik ikut je daripada menambahkan malu yang ada. Hai, kalau macam ni lingkuplah karier aku tak lama lagi,’ gumam hati Amir. Semalam setelah diijabkabulkan Amir terus menempah satu lagi bilik untuk Ila. Kini mereka dalam perjalanan ke rumah Puan Anita, ibu Amir. Semakin mereka hampir dengan rumah banglo dua tingkat berwarna biru langit itu, kelibat Puan Anita semakin jelas kelihatan. Sebaik sahaja kereta Mini Cooper emas metalik Amir memasuki garaj, Amir bersuara,

“Biar saya jumpa mak saya dulu. Awak jangan turun lagi.”

Ila hanya akur dan melihat Amir menuju ke arah perempuan berusia 40-an. Pandangannya kini tertumpa pada halaman rumah tersebut. Penuh dengan tumbuh-tumbuhan yang belum pernah Ila lihat seumur hidupnya. Mungkin herba atau tumbuhan yang hampir pupus. Telinganya mendengar lagu-lagu yang tersimpan kemas dalam MP3-nya. Namun begitu dia masih mendengar suara teriakan Puan Anita.

“Anak tak guna! Buat apa kau datang sini, hah! Lepas kau dah malukan aku, baru kau nak balik!” Tangan Puan Anita diangkat tinggi. Amir bagaikan seorang pesalah bersedia menerima hukuman.

“Nanti!” Jeritan Ila membantutkan niat Puan Anita. “Mak cik dengar penjelasan saya dulu. Kami diperangkap,” kata Ila lagi.

“Ha’ah, memang! Kau yang perangkap anak aku kan? Dasar perempuan jalang!” Herdikan Puan Anita hampir melemahkan jiwa Ila tetapi dia tahu bukti kebenaran kepada kata-katanya ada pada diri Ila sendiri. Dia harus tunjukkan bukti itu sebelum keadaan jadi di luar kawalan.

“Mak cik, saya bukan orang Singapura. Saya orang Malaysia. Kalau tak percaya, ini buktinya,” Ila menunjukkan Mykadnya. Kata Ila lagi, “Ini kali pertama saya datang ke Singapura dan ini buktinya,” dia menunjukkan pasportnya kepada Puan Anita. “Dan Amir, berapa kali awak seberang Tembok Johor?” Tanya Ila.

“Tak pernah langsung,” kata Amir.

“Jadi ini membuktikan yang kami diperangkap,” kata-kata Ila membuat Puan Anita diam dalam sebak. Tiba-tiba dia memeluk Ila sambil menangis teresak-esak.

“Maafkan mak cik, nak. Mak cik tinggal sorang-sorang je kat rumah. Kadang-kadang pergi rumah jiran sebelah. Lepas cerita tu tersebar, mak cik malu nak keluar rumah. Mak cik sedih,” kata Puan Anita.

“Tapi Amir kan dah balik,” kata Ila. Puan Anita mengesat air mata yang masih bersisa.

“Ya Allah, dah lama sangat kita duduk kat luar ni. Marilah masuk, apa nama isteri kau ni, Amir?” Puan Anita hampir terlupa bertanya nama.

“Ila, mak cik. Ayu Suhaila.”

“Jangan panggil mak cik. Panggil mama.”

“Baik, mama.”

“Amir, angkat beg tu. Kesian menantu mama. Mesti penat kan?”

“Takpelah, mama. Biar Ila angkat beg dulu.”

“Jangan, beg tu berat. Biar orang lelaki je yang buat kerja-kerja macam tu. Ila masuk dengan mama dulu ya?” Pinta Puan Anita. Ila hanya mengangkat bahu kepada Amir. Amir mula mencebik. ‘Mentang-mentanglah kau berjaya pujuk mak aku. Eksyenlah tu.’ Hati Amir mulai geram. ‘Tapi bijak juga dia tu. Siap ada bukti lagi. Macam lawyer… Eh, kenapa dengan aku ni? Puji dia pulak.’ Hati Amir terus berbicara.

RUPA TANPA WAJAH

Damaikanlah jiwa ini

Dalam kesangsian ku terus kembara

Aku hanya manusia

Pasti tiada yang dapat ku perlakukan

Sebelum ku pergi…oh…

Tiada apa yang ku pinta

Dalam dunia yang banyak meminta

Aku hanya manusia

Sekadar kebebasan sangat berharga

Maka itu aku terpesona

Terpesona-terpesona

Pada keindahan warna pelangi

Rupa tanpa wajah

Bermain di mata

Berjalan tanpa ikut haluan

Wajah pura-pura

Bertopengkan wira

Menari tanpa ikut irama

Terpesona…

Terpesona…

Terpesona…

Pada keindahan warna pelangi

 

Ciptaan: M. Nasir                Kembara Seniman Jalanan (1986)

Thursday, March 3

CINTA UNTUK BINTANG (POST KETIGA)

Amir membuka mata. Terkebil-kebil dia melihat bilik hotelnya. Walaupun masih mamai, dia cuba untuk berdiri. Jam menunjukkan sudah pukul dua belas tengah hari. Amir perasan baju yang dipakai untuk persembahan pagi tadi masih belum ditukar. Lantas dia ke bilik air untuk menyegarkan badan. Tanpa Amir sedari seorang gadis sedang lena di di kerusi panjang berdekatan katilnya. Kedudukan kerusi yang membelakangi katil membuatkan sesiapa sahaja tidak akan perasan akan kewujudan seseorang di situ.

Bunyi air yang mencurah-curah membuat Ila terjaga. Dia memandang sekeliling. ‘Eh, bukan ke tadi aku ada dalam kereta? Macam mana boleh ada dalam bilik ni?’ Hati Ila berbicara. Bunyi air semakin perlahan dan terus senyap diganti dengan suara senandung dari arah yang sama. Tiba-tiba….

kedua-dua jeritan bertemu dan dan membentuk gema yang luar biasa hebatnya. Amir menutup pintu bilia air semula. Ila pula menutup mata. Seorang lelaki yang hany bertuala membuatnya terkejut.

“Macam mana awak boleh masuk bilik saya?” Tanya Amir.

“Saya tak tahu.”

“Siapa yang suruh awak datang sini?”

“Saya tak tahu.”

“Awak ni hilang ingatan ke? Dari tadi cakap tak tahu je,” Amir jengkel. Ayat itu membuat Ila panas. Mahu saja dia menendang pintu bilik air dan menjerut leher sesiapa yang ada di dalamnya.

“Dah saya memang tak tahu. Nak cakap apa lagi?” Tanya Ila. Tapi dia tak perlukan jawapan. Amir keluar dari bilik air. Keadaan dirinya tidak dipedulikan. Dia meluru ke hadapan Ila yang masih duduk di kerusi panjang.

“Awak tahu tak saya siapa?” Amir merenung tajam ke wajah polos Ila.

“Tak.”

“Saya Amir Azfar. Penyanyi tersohor Singapura. Takkan awak tak kenal.”

“Huh, tersohorlah konon! Untuk pengetahuan awak, memang saya tak kenal nama yang awak sebut tu sebab saya orang Malaysia dan tak ingin nak kenal kalau macam ni perangai artis-artis Singapura,” kata Ila. Amir menuju ke pintu keluar. Ila membuntuti Amir dari belakang sambil berkata,

“Awak bukannya popular macam Taufik Batisah atau Imran Ajmain di Malaysia. Jadi jangan nak perasan!”

“Kalau macam tu awak boleh keluar sekarang sebab bilik ni atas nama saya,” kata Amir sambil membuka pintu. Tapi Ila masih tercegat di situ. Amir yang berada di balik pintu merasakan seperti ada yang tak kena. Ila menjuihkan bibirnya ke luar. Amir bergerak ke depan dan terkejut melihat lima orang lelaki bersongkok dan berkopiah bersama empat orang wartawan yang tak putus-putus melimpahkan cahaya yang menyilaukan mata mereka berdua di luar bilik hotel.

“Assalamualaikum,” kata lelaki bersongkok serentak.

IN AND OUT OF TIME

 

The Sun has come

The mist has gone

We see in the distance…

Our long way home.

I was always yours to have

You were always mine.

We have loved each other in and out of time.

When the first stone looked up at the blazing sun.

And the first struggled up from the forest floor.

I had always love you more.

You freed your braids…

Gave your hair to the breeze.

It hummed like a hive of honey bees.

I reached in the mass for the sweet honey comb there…

Mmmm… God how I love your hair.

You saw me bludgeoned by circumstance.

Lost, hurt, injured by chance.

I screamed to the heavens, loudly screamed…

Trying to change our nightmares into dreams…

The Sun has come.

The mist has gone.

We see in the distance our long way home.

I was always yours to have.

You were always mine.

We have love each other in and out

in and out

in and out

of time.

Maya Angelou                      Madea’s Family Reunion (2006)

Wednesday, March 2

CINTA UNTUK BINTANG (POST KEDUA)

“Cik Ayu Suhaila?” Seseorang menegurnya dari belakang.

“Ya, saya,” kata Ila.

“Saya Johny, ejen Cik Ayu Suhaila. Selamat datang ke Singapura,” kata aluan Johny membuat Ila yang tercari-cari arah di lapangan terbang itu tadi tersenyum.

“Panggil saya Ila je,” kata Ila.

“Baiklah, Ila. Kereta ada di sana. Jom kita pergi,” kata Johny. Mereka berbual lagi.

“Kat sini awak akan bekerja sebagai pembantu rumah. Sebab tu awak kena jumpa dengan bakal bos awak. Kita akan ke situ dulu baru kita pergi ke rumah baru awak. Ok?” Ila hanya mengangguk. Tanpa mereka sedari sebuah kereta BMW hitam berhenti di hadapan mereka. Johny menawarkan air minuman. Pada mulanya Ila menolak, tetapi dengan kepanasan membahang di kota singa itu membuat Ila menukar fikiran dengan mudah. Dia meminum air jernih itu tanpa sebarang syak wasangka. Tiba-tiba, keseronokan berada di luar negara Malaysia bertukar menjadi kepenatan yang cuba menarik-narik kelopak matanya untuk terkatup. Ila terlelap dengan lenanya.

SEPASANG BAJU BIRU

 

Ramai yang melihat dia

Bersama sepasang baju biru

Menanti penuh harapan

Di hadapan agam

Tengah-tengah pusat Bandar

 

Bersama baju itu

Dia akan mencoretkan kenangan

Akan melakarkan impian

Dalam rumah agam itu

Dia akan memerah keringat

Akan melipatgandakan usaha

Sehingga baju biru itu

Dipandang sekalian orang

Dengan penuh girang dan hormat

 

Pintu agam dibuka luas

Dan bersama baju biru itu

Dia melangkah

Laksana seorang pahlawan ke medan juang

Dan lenyaplah baju biru itu

Di telan keagungan rumah agam.

Fatini Zulkarnain                               14 Oktober 2010

Tuesday, March 1

CINTA UNTUK BINTANG (POST PERTAMA)

 

Tepukan gemuruh bergema apabila Amir selesai menyanyikan lagu. Ramai orang berpusu-pusu ke arahnya semasa dia turun dari pentas. Mereka berebut-rebut mengambil gambar, autograf dan ada juga yang sekadar me’meriah’kan suasana. Melihat keadaan semakin tidak terkawal empat orang pengawal peribadi Amir yang besar dan sasa maju lalu mengiringi Amir. Erwin, pengurus Amir mendekati Amir sebaik sahaja pengawal peribadi melakukan tugas mereka.

“Hari ni dah habis. Pagi esok kau ada job kat Pulau Sentosa, lepas tu terus pergi ke Orchid Road. Jadi kau boleh balik awal sikit,” kata Erwin.

“Okey. Tapi aku pelik sikitlah Erwin,” Amir mengusulkan keanehan.

“Kenapa pulak?” Tanya Erwin.

“Aku rasa makin lama job untuk aku makin kuranglah,” kata Amir.

“Salah kau jugak. Siapa suruh kau demand sangat. Tak nak nyanyi lagu orang lain. Nak nyanyi lagu sendiri je. Tapi jangan kau risaukan sangat pasal tu. Aku kan ada. Aku akan carikan banyak job untuk kau nanti. Percayalah,” pujuk Erwin. Amir terus masuk ke dalam kereta dan berlalu dari situ. Meninggalkan Erwin yang tersenyum simpul ke arah kereta Amir. Setelah kereta itu menjauh, senyuman tadi terus mati. Digantikan dengan mimik wajah jengkel dan meluat.

Amir memberhentikan kereta di Hilton Hotel. Setelah mendaftar masuk, dia terus ke biliknya. Dia membuka peti ais dan meminum sebotol coke. Dia merasakan keletihan yang luar biasa. Amir terus terlelap sebaik sahaja badannya menyentuh tilam. Botol coke yang dipegang dibiarkan terbuka di atas meja.

EPILOG DIA DAN MEREKA

 

Dia:

Apa salah aku?

Dilayan begitu,

Kerana sakitku?

Sebab lukaku?

Atau gara-gara kedanaku?

Ceritakan padaku,

Usah terus bisu,

Aku ingin tahu.

 

Mereka:

Maafkan kami,

Bukan bermaksud melukai,

Apatah lagi diam diri,

Jangan terasa hati,

Disisih sebegini,

Bukan salah kami,

Harap Abang mengerti.

 

Mulut Mereka,

Tak mampu bicara,

Pabila Dia bertanya,

Kan terbongkar rahsia,

Kala masanya tiba,

Segala laku Mereka,

Hanya untuk Dia,

Terus menyambung nyawa.

Fatini Zulkarnain                               28 Febuari 2011