Saturday, October 20

BETUL KE NI, PAPA?

“Hai, pa. Boleh ambil Rynda tak? Kereta masuk bengkel,” Rynda sedang berdiri di hadapan bengkel kereta biru tua. Rolex milik Rynda menunjukkan sudah pukul sepuluh malam.

“Papa tengah meeting ni. Apa kata Rynda naik bas je?”

“Tapi Papa, Rynda mana pernah naik bas sebelum ni… Please Papa, dah pukul berapa dah ni,” Rynda masih cuba memujuk.

“Rynda cuma perlu tunjuk kad yang Papa kasi kat Rynda hari tu, confirm dia bagi Rynda naik. Make sure ada perkataan ‘KL Sentral’ kat depan bas tu. Ada lagi bas sekarang ni.”

“Ok, Papa. Jumpa kat rumah.” Talian dimatikan. Rynda menuju ke arah pekerja bengkel yang masih meneliti enjin keretanya.

“Bang, ada tak bus stop kat area ni?”

…………………………………………………………………………………………………………………………

Perjalanan dari bengkel biru tua ke bus stop tidaklah jauh. Yang merisaukan Rynda adalah penantian yang entah bila akan berakhir. Dia cuma berharap biarlah dia dapat pulang dengan selamat. Kawasan sekitar perhentian bas benderang, menambah kelegaan Rynda.

Satu bas yang memiliki logo yang sama dengan kad yang papa Rynda nyatakan muncul sepuluh minit kemudian. Rynda berdiri dengan tenang. Bas bergerak melepasi Rynda, meninggalkan angin kencang ke wajahnya. Rynda tergamam.

‘Papa cakap confirm berhenti.’ Hati Rynda curiga. Nombor papa di dail.

“Papa! Papa cakap bas berhenti kat bus stop. Tapi ni lalu je…”

“Sayang, Papa tengah meeting ni.”

“Rynda tahu, papa. Tapi bas tu tak berhenti pun.”

“Rynda tunggu kejap lagi. Nanti ada bas yang lain sampai. Driver tadi tak nampak Rynda kot. Bye, sayang.”

“Papa…” Hanya itu yang Rynda mampu luahkan. Dia kembali duduk. Setelah lima belas minit masanya terbazir, bas yang sama muncul lagi. Kali ni bas itu berhenti. Rynda perasan pemandu bas itu adalah pemandu bas yang sama meninggalkan desiran angin ke telinganya lima belas minit lalu.

“Adik sorang je?” Tanya pemandu bas terbabit sebaik sahaja Rynda masuk, menunjukkan kad yang diberi papanya.

Rynda pandang belakang. “Ya. Saya sorang je.”

“Ke KL Sentral?”

“Ya. Ke KL Sentral.”

“Kalau macam tu, abang minta maaf dik. Abang tak boleh bawak adik.”

“Eh, kenapa pulak?!”

“Sebab bas abang ni dah kosong. Pastu adik sorang je. Memang abang tak boleh bawak adik ke sana.”

“Tapi abang memang lalu KL Sentral kan?”

“Ya, tapi abang memang tak boleh bawak adik pergi sana.”

“Ala… takkan tak boleh, bang. Saya nak balik ni.”

“Memang tak boleh, dik. Lagi pun, adik tunjuk kad. Kalau adik bayar, takpe jugak.”

“Tapi ayah saya cakap kalau saya tunjuk kad ni confirm saya boleh naik.”

“Maaf sangat-sangat. Abang memang tak boleh bawak adik pergi sana.”

Air mata Rynda tak tertahan. Dalam dia cuba meneguhkan empangan di matanya, Rynda terpandang satu nama terpampang atas cermin hadapan bas bersebelahan gambar menyerupai pemandu bas terbabit: Nazaki Zackary.

“Okay, bang. Kalau abang betul-batul tak boleh, silalah gerak. Buat apa abang berhenti kat sini lagi?” Marah Rynda sembunyi tangis.

“Adik, jangan macam tu dik,” untuk apa dia kaget, Rynda tak tahu. Dalam tak sedar Rynda sudah kembali berdiri di perhentian bas.

“Abang tak boleh bawak saya kan? So, buat apa lagi abang berhenti kat sini? Jalan jelah!” Jeritan Rynda sudah cukup buat bas itu bergerak sepantas kilat. Dan Rynda menangis sampai tuahnya tiba dalam bentuk sebuah teksi milik seorang India peramah.

…………………………………………………………………………………………………………………………

“Baiklah, apa agenda kita seterusnya?” Dato’ Razli bertanya selaku CEO Syarikat Flash Forward Sdn. Bhd dalam mesyuarat bulanan syarikat tersebut.

“Bulan ini kita telah mendapat…” suara AJK bahagian Aduan terganggu dengan deringan telefon Dato’ Razli sekali lagi.

“Maafkan saya,” Dato’ Razli berpusing menjauhkan suaranya dari didengari ahli mesyuarat (tapi terdengar jugak).

“Sayang, kan Papa ada meeting ni.” Tegas Dato’ Razli bersuara. Tiba-tiba suaranya berubah risau. “Kenapa nangis ni?” Dato’ Razli mendengar dan mengangguk beberapa kali. “Dah, dah, dah. Sampai rumah, mintak duit deengan mama, okay. Apa nama dia? Betul? Ada nombor pekerja tak? Takpe, takpe. Nama dah cukup. Jangan risau okay? Bye.”

“Bahagian Sumber Manusia, cari fail Nazaki Zackary. Letak atas meja saya sebelum kita balik. Bahagian Aduan sila bentangkan laporan,” Dato’ Razli mengurut dahinya dengan sebelah tangan.

“Bulan ini kita telah mendapat 2, 531 aduan mengenai salah laku pemandu bas seluruh Kuala Lumpur.” AJK Bahagian Aduan menerangkan.

“Jadikan 2, 532 aduan. Paling latest dari anak saya,” ahli mesyarat terlopong.

“Anak Dato’ naik bas?” Timbalan CEO bertanya.

“Tak. Bas tak bagi anak saya naik,” suara garau Dato’ Razli sudah cukup membayangkan tahap prestasi syarikat itu sekarang.

 

*Based from a true story. Korang pernah ada pengalaman macam ni?

(^_^)