Sunday, March 24

Two Guys One Room

2 Guys q Room

Di bilik 303 itu Loqman keseorangan. Hanya kertas dan pensel warna menjadi peneman. Segala contengan dibiarkan sahaja berselerakan di lantai. Tangannya masih terus leka melukis tanpa menyedari dua orang lelaki berbaju putih masuk sambil mengangkat katil besi warna putih.

“Selamat pagi Loqman. Start hari ni Loqman ada kawan. Suka tak?” ceria salah seorang lelaki berbaju putih menyapa. Loqman hanya diam. Tangannya terus leka melukis.

Setelah katil besi itu diletakkan, lelaki baju putih itu keluar dan masuk balik sambil memegang mengiringi seorang lelaki yang berpakaian macam Loqman.

“Loqman, ini Razak. Mulai hari ni dia sebilik dengan Loqman. Jaga dia baik-baik tau,” kata lelaki baju putih yang menyapanya tadi. Loqman masih meneruskan lukisannya. Lelaki yang bernama Razak itu hanya duduk atas katil setelah mereka ditinggalkan berdua.

“Wey, nama kau Loqman kan? Kau buat apa tu?” Tanya Razak. Loqman diam.

“Wey, cakaplah dengan aku. Aku bosan giler ni,” kata Razak.

“Buat apa aku nak cakap dengan kau? Aku bukan kenal kau pun,” kata Loqman tanpa mengalihkan pandangannya dari kertas lukisan. Razak mendekati Loqman yang tekun melukis di lantai bersebelahan katilnya.

“Apa yang kau lukis? Aku tak faham langsung,” kata Razak. Satu demi satu lukisan bertaburan di lantai diperhati satu persatu. Razak seperti melihat sesuatu dalam lukisan-lukisan itu.

“Loqman, kau yang buat semua lukisan ni?” Tanya Razak.

“Ada orang lain lagi ke selain kau dengan aku kat sini?”

“Kalau macam tu tak jadilah aku nak cakap kau genius,” kata Razak sebelum mengumpulkan kesemua lukisan Loqman.

“Kau nak buat apa dengan lukisan aku tu?”

“Buktikan kau genius. Tunggu kejap,” Razak menyusun lukisan Loqman di lantai. Susn atur lukisan-lukisan itu Razak tukar beberapa kali hingga menampakkan gambar sebuah banglo putih beratap biru yang dikelilingi taman bunga ros dari susunan lukisan terbabit.

“Ya, Loqman. Kau sangat genius. Ni rumah siapa?” tanya Razak.

“Rumah aku sebelum aku datang sini.”

“Kenapa kau boleh ada kat sini?”

“Aku tolak abang aku dari balkoni. Dia salahkan aku sebab aku tak dapat bezakan nombor 6 dengan nombor 9. Syarikat dia rugi berjuta-juta sebab aku. Macam mana dia rugi itu aku tak tahu. Kau pulak, kenapa boleh ada kat sini?”

“Entah, aku pun tak tahu,” Razak menyengih. “Yang aku tahu, ni nama aku,” Razak mengambil salah satu kertas lukisan dan menulis namanya.

“R. A. Z. A. K. Razak,” Razak menunjukkan tulisannya kepada Loqman. Loqman mengambil kertas lukisan itu dan menulis kembali nama Razak lalu ditunjukkan pada Razak.

“Kau sekolah sampai darjah berapa? Nama aku pun kau tak pandai nak eja,” kata Razak.

“Aku memang tak boleh tulis nama kau. Tapi aku boleh buat ni,” Loqman menunjukkan lukisannya yang baru siap. Lukisan wajah Razak yang memakai pakaian diraja di atas takhta. Muka Razak dilukis secara terperinci.

“Wow... Aku tabik dengan kau. Aku pun tak boleh buat apa yang kau buat,” kata Razak.

“Tapi kau boleh menulis, tengok aku. Mak ayah aku sumbat aku kat sini sebab dorang malu ada anak bodoh macam aku,” Loqman menangis.

“Apa ni... Buruklah lelaki menangis. Tengok aku. Macho, steady je,” Razak membanggakan diri. “Macam nilah. Aku akan ajar kau ABC, memandangkan kita dah satu bilik. Sekarang kau kena jadi tour guide aku. Boleh?”

“Boleh,” Loqman dan Razak keluar dari bilik 303.

.......................................................................................................................................................

“Razak, bangun. Sarapan. Kalau kau tak bangun, dorang simbah kau dengan asid. Razak, bangunlah,” Loqman mengejutkan Razak. Razak buka mata lantas menolak Loqman.

“Kau siapa?!” Suara Razak meninggi. Razak menggenggam penumbuk, bersedia untuk mempertahankan diri. “Aku kat mana?! Kenapa kau bawak aku datang sini?!”

“Aku Loqman. Kau dalam bilik kita. Bukan aku yang bawak kau datang sini. Aku pun tak tahu kenapa kau boleh ada kat sini. Tapi kau okay je borak dengan aku semalam. Kau ingat siapa kau kan?” Loqman sendiri pun tak pasti apa yang dia telah katakan.

“Aku Razak. R. A. Z. A. K. Razak!” Jerit Razak.

“Memandangkan nama kau Razak, kau kena tolong aku,” kata Loqman.

“Tolong? Tolong apa?”

“Tolong ajar aku ABC sampai terer,” kata Loqman yakin.

Dari situlah persahabatan antara Loqman dan Razak terjalin di bilik 303, Hospital Bahagia, Tampoi.

GIANT SHAH ALAM

28-11-2012

*Inspirasi dari lagu ‘Imtro’ nyanyian Imran Ajmain

Monday, March 18

Bahana Perempuan Bertudung Ungu

Purple-001

Bismillahirrahmanirrahim,

Wahai kekasih hatiku, aku bersyukur kerana mengenali kekasih hatiku. Saat mataku terpejam, hanya sinar kasih dari kekasih hatiku bercahaya dalam gelita. Sebelum ini, aku tak kenal apa itu cinta sejati. Hidupku hanya mencari dalam keseronokan bersama teman-teman dunia. Hanyut dalam masa yang terasa lambat bergerak.

“Lambat pulak mamat tu malam ni,” Herman mengomel. Menunggu di hadapan KLCC bukan gayanya. Darnish di sebelah memandang jam tangan.

“Sabar jelah. Parents dia bukan macam parents kita,” kata Darnish. Tiba-tiba sebuah kereta Peugeot 903 RC hitam berhenti betul-betul di hadapan mereka.

“Wei! Lama tunggu?” Terpacul wajah Khairi dari tingkap kereta hitam tersebut. Darnish membelek wajah Herman. “Bagus, janggut tak tumbuh lagi. Kau selamat Khairi,” kata Darnish. Herman hanya geleng sambil gelak.

“Jomlah gerak. Darnish, kau nak naik kereta aku ke kereta Herman?” Tanya Khairi.

“Mestilah kereta kau. Kang mengamuk pulak bakal-bakal girlfriend si Herman ni kalau aku balik dengan dorang malam ni,” kata-kata Darnish disusuli dengan gelak tawa Khairi dan Darnish. Herman hanya tunjuk penumbuk pada Darnish sebelum bergerak ke kereta Hyundai i 10 Kappa 1.25cc warna birunya.

“Ke mana kita malam ni?” Tanya Darnish.

“Ke syurga dunia. ZOUK!!!” Khairi dan Darnish girang dengan keseronokan dalam minda.

Wahai kekasihku,

Hidupku tanpa tuju. Terlalu banyak jalan untuk aku pilih. Keluargaku prihatin, tapi aku yang degil. Lebih rela mengejar keajaiban dunia tanpa memikirkan sebab dan akibat. Entah berapa banyak air mata ibuku tumpah untuk anak derhaka ini. Ya, langkahku songsang. Namun seandainya langkahku tidak songsang, pasti aku tidak akan bertemu dengan kekasihku.

Pandangan Khairi berkabus. Kepalanya berdenyut. Langkahnya cuba diselaraskan namun tak berjaya. Lurus bagi dia, ke kiri ke kanan bagi pejalan kaki yang melihat. Dalam samar malam dia lihat bangku panjang. Seorang perempuan bertudung ungu duduk di situ. Tempat awam, sesiapa pun boleh duduk. Khairi duduk melepaskan lelah di sebelah perempuan itu.

“Encik, boleh duduk jauh sikit tak? Saya tak selesa dengan bau encik,” perempuan itu menegur. Khairi senyum kambing.

“Bangku ni sempitlah. Kalau saya gerak nanti jatuh,” tenggelam timbul suara Khairi. Matanya masih berpinar, kepalanya seperti hilang imbangan. Namun telinganya masih menangkap bait-bait kata perempuan bertudung ungu.

“Encik ok? Kalau encik rasa pening, baik encik baring je kat sini. Bangku rasanya lagi panjang dari encik. Maklumlah bangku bus stop,” Khairi tak pasti sama ada perempuan bertudung ungu itu prihatin atau sarkastik padanya.

“Kalau saya tak nak baring?” Khairi mendekatkan wajahnya pada hidung perempuan bertudung ungu. Perempuan bertudung ungu itu menjauhkan kepalanya dari wajah Khairi.

“Terpulang, saya bagi cadangan je,” perempuan bertudung ungu keluh-kesah. Jam di tangan ditilik berulang kali.

“Tunggu boyfriend ke sugardaddy?” Khairi tahu itu soalan yang salah tapi nak buat macam mana, dah terkeluar. Terima jelah akibatnya.

“Apa?” perempuan bertudung ungu seakan tak percaya dengan soalan Khairi.

“Yelah, sekarang dah pagi, tinggal empat lima jam lagi nak subuh. Bas dah tak beroperasi sekarang. Kalau tak tunggu boyfriend, mesti tunggu sugardaddy, kan?” Khairi ketawa bawah sedar. Dengan mata yang kabur Khairi dapat lihat perempuna itu sedang menahan diri sendiri dari marah.

“Saya tunggu orang yang saya sayang,” perempuan bertudung ungu itu masih tenang.

“Yelah, tapi boyfriend ke sugardaddy?”

“Ayah saya, abang saya, adik saya, kakak saya, mak saya dan atok saya. Semua tu orang yang saya sayang dan pandai bawak kereta,” perempuan bertudung ungu itu senyum kemenangan. Jawapan itu membuatkan Khairi menghentikan perbualannya.

“Encik pun tau sekarang dah nak pagi, kenapa ada kat sini?” ringan mulut pulak perempuan ni.

“Kereta... tak boleh drive... member... tunggu... sini...” susunan ayat Khairi dah tunggang-langgang gara-gara Carlsberg. Khairi terus baring di atas bangku panjang bus stop tersebut.

“Bismillahirrahmanirrahim...” Khairi terdengar suara perempuan bertudung ungu lagi.

“Wei! Aku belum mati lagilah. Kau tak payahlah nak baca Yassin kat sini.”

“Encik jangan salah sangka. Saya bukan nak baca Yassin. Saya nak baca doa supaya tak ada syaitan akan ganggu encik sepanjang encik baring. Untuk kesejahteraan encik jugak.”

Khairi tahu perempuan bertudung ungu ikhlas. Terharu muncul seketika dalam hatinya. Namun khayal alkohol menutup rasa itu. Matanya dipejam bersama alunan suara perempuan bertudung ungu.

Bila Khairi buka mata, malam bukan lagi bumbung, bangku bukan lagi tempat dia berbaring. Dia berada di dalam biliknya sendiri, dengan katil queen size yang cadarnya remuk dikerjakan Khairi.

“Aku mimpi rupanya,” kecewa bersarang dalam hati. Alunan gadis bertudung ungu itu seperti masih masih melekat dalam hatinya. Khairi bergegas keluar bilik. Bilik bacaan di tingkat bawah tempat dituju. Baru sahaja Khairi menutup pintu bilik tidurnya, Puan Baiduri, ibu Khairi menyapa.

“Khairi ke mana semalam? Mujur papa balik lepas Khairi sampai. Kalau tak mesti papa marah,” lembut tuturan Puan Baiduri.

“Macam mana Khairi boleh ada atas katil?”

“Kamu mabuk lagi rupanya. Bukan ke Khairi yang cakap nak naik atas, tidur, Khairi penat?”

“Khairi tak ingatlah mama.”

“Dah. Pergi mandi. Mama dah siapkan sarapan. Dah bau apa dah kamu ni.”

Khairi senyum pada Puan Baiduri sampai Puan Baiduri masuk bilik. Dia terus menuruni tangga menuju ke bilik bacaan. Dari satu rak ke satu rak dia menjengah tapi buku doa-doa harian tak kelihatan. Yang ditemui hanya Al-Quran beserta terjemahan. Worth to take the shot. Halaman Al-Quran beserta terjemahan diselak ke Surah Al-Fatihah. Khairi pasti itu salah satu alunan perempuan bertudung ungu.

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani (1) Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekelian alam (2) Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani (3) Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat) (4) Engkau sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami meminta pertolongan (5) Tunjukilah kami jalan yang lurus (6) Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat (7)

Lompong di hati Khairi terasa sedikit berisi membacakan terjemahan itu. Dibeleknya lagi Al-Quran beserta terjemahan itu. Dan tangannya berhenti pada salah satu halaman dalam Surah Al-Baqarah.

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia-lah Yang Maha Tinggi (darjat kemulian-Nya), lagi Maha Besar (kekuasan-Nya) (255)

Khairi terduduk membaca terjemahan tersebut. Dadanya terasa berat. Bagai ada sesuatu yang ingin keluar dari dalam dirinya, tidak ingin bersama dalam ruang alunan perempuan bertudung ungu. Tangan Khairi masih laju mencari ayat alunan perempuan bertudung ungu.

Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa (1) Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat (2) Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan (3) Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya (4)

Seperti ada satu batu yang sangat besar di bahunya, Khairi merasa lemah. Tubir matanya kini bertakung melihat dua halaman terakhir Al-Quran beserta terjemahan tersebut.

Katakanlah (wahai Muhammad); Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk (1) Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan (2) Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk (3) Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan) (4) Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya (5)

Satu demi satu kejadian muncul di hadapan matanya. Semua kejahatan Khairi dan teman-temannya dari remaja hingga kini sungguh pantas menjadi sesalan dalam jiwanya. Khairi tak merasakan dia ‘dilindungi’, tapi dialah ‘makhluk pembawa bencana’ dalam Surah itu.

Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia (1) Yang menguasai sekalian manusia (2) Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia (3) Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam (4) Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia (5) (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia (6)

Air mata Khairi tumpah. Al-Quran beserta terjemahan itu dipeluk erat. Perempuan bertudung ungu itu cuba melindunginya dari penghasut hati manusia tanpa menyedari Khairi telah lama mengikut hasutan itu. Kerana mimpi itu Khairi tahu Allah masih menyayangi dirinya.

Wahai kekasihku,

Sesungguhnya kerana kekasihku aku ingin berubah menjadi lebih baik. Aku tak mampu menjadi sesempurna kekasihku namun aku akan mencuba sehabis baik. Dugaan itu bukan sahaja datang dari diriku sendiri, tapi dari mereka yang rapat denganku. Sehingga kini aku telah berjaya mengekalkan diriku yang baru ini dari segala kebiasaan lamaku. Segalanya untuk kekasihku.

Di tikar sejadah itu Khairi merenung kembali masa lalu. Masa lalu yang dia ingin tinggalkan. Dia sudah berazam pada dirinya sendiri untuk tidak mengulangi segala kesilapan itu. Konsentrasinya terganggu tatkala telefon pintar putihnya mengalunkan lagu ‘Heartbreak Girl’ nukilan bintang YouTube antarabangsa, Joseph Vincent.

“Khairi, kau kat mana? Jom keluar. Dah seminggu kita tak enjoy sama-sama. Malam ni happy hour,” suara riang Herman berkumandang di telefon pintar putih Khairi.

“Aku rasa aku nak lepak kat rumah jelah malam ni,” kata Khairi.

“Lepak kat rumah?! Bukan kau stress ke duduk kat rumah tu? Lebih-lebih lagi kalau ayah kau ada. Jomlah,” Herman masih mengajak.

“Sebenarnya, stress aku tak pernah hilang duduk kat pub tu.”

“Wei, jangan macam ni Khairi. Kita pergi seronok mana-mana pun bertiga. Kau tak boleh buat macam ni kat kitorang.”

“Okay. Aku keluar dengan korang malam ni. Tapi aku akan tentukan kat mana. Dan korang tak boleh bantah. Kalau aku ada kesan trick apa-apa, aku blah.”

“Cantik.”

.......................................................................................................................................................

“Kamu nak ke mana malam-malam ni, Khairi?” Suara Encik Ridwan membantutkan hala tuju Khairi.

“Khairi nak keluar kejap, jumpa kawan,” walaupun Khairi jujur, tapi Khairi tahu jawapannya akan bawa perbualan ini ke mana.

“Jumpa kawan kat pub mana pulak malam ni?” Tegas sahaja suara ayah Khairi, seperti selalu. Khairi hanya diam. “Kamu tahu kan si Herman dengan Darnish tu bad influence untuk kamu. Kamu nak sangat jadi liar macam dorang tu?”

“Papa, Khairi cuma nak keluar minum dengan dorang je,” satu lagi ayat yang akan buat mereka perang besar sekali lagi.

“Ha’ah! Pergi minum! Lepas tu, balik mabuk! Apa nak jadi dengan kamu ni! Kecik-kecik tak nak mampus! Dah besar menyusahkan mak bapak!”

Terguris Khairi mendengar kata itu. Namun Khairi masih lagi diam. Dia terus bergerak ke pintu rumah. Puan Baiduri menghampiri suaminya setelah Khairi hilang di sebalik pintu tersebut.

“Kenapa bising-bising ni bang?” Tanya Puan Baiduri.

“Tengoklah anak kesayangan awak tu. Makin lama makin tak dengar kata. Buat malu muka saya je. Lebih baik kalau saya tak ada anak daripada jaga biawak hidup macam dia!”

“Abang! Jangan cakap macam tu. Dia kan anak kita.”

“Salah awaklah ni! Manjakan sangat budak tu. Tengoklah apa dah jadi sekarang,” Encik Ridwan bergerak masuk bilik sebelum dia menghamburkan marah yang masih tersisa pada isterinya pula. Puan Baiduri hanya mampu menahan hiba.

.......................................................................................................................................................

“Warung mamak? What the hal?” mulut Darnish terlopong. Herman macam tak percaya dia akan masuk kedai seperti itu bersama Khairi.

“Nak tak? Tak nak, aku balik,” Khairi mahu kembali ke keretanya. Darnish tarik Khairi.

“Releklah Khairi. Jangan kelam-kabut. Kitorang masuk. Jom, Herman,” dengan langkah yang berat Herman dan Darnish duduk di salah satu meja. Setelah pelayan mengambil pesanan, Darnish memulakan perbualan.

“Khairi, kau ada masalah dengan manager pub yang kita nak pergi malam ni ke?”

“Takdelah. Aku dah tak nak pergi sana lagi. Tu je.”

“Tapi kenapa? Itu yang kitorang tak faham.”

“Aku rasa segala apa yang aku buat ni, macam ada yang tak kena. Memang kita berseronok kat sana, tapi rasa seronok tu sekejap. Sampailah aku dapat mimpi, dapat hidayah, menurut Ustaz Dhafa.”

“Ustaz Dhafa? Siapa tu?” Tanya Herman.

“Imam masjid kawasan taman rumah aku. Dah lebih kurang seminggu aku belajar dengan dia,” kata Khairi.

“Oh, member kita dah dapat hidayah. Dah lebih tahu pasal hal agama. Siapalah kita nak berkawan dengan bakal ustaz, ye tak Herman?” Darnish seakan mengejek.

“Korang, aku tak bermaksud untuk putus kawan. Bagi aku kita tetap kawan sampai bila-bila.”

“Dahlah Khairi. Aku tak tahu apa benda yang dah masuk dalam badan kau. Yang aku kau bukan diri kau. Kau bautlah apa kau nak buat. Aku tak nak masuk campur,” kata Herman.

“Aku pun sama,” Darnish angkat tangan tanda menyerah.

“Korang cubalah faham...” Khairi tidak mampu meneruskan ayatnya apabila seorang perempuan bertudung hijau melalui meja mereka. Khairi seperti pernah melihat wajah perempuan itu. Tapi Khairi tidak pasti memandangkan perempuan bertudung hijau itu cuma melalui meja mereka sepintas lalu keluar dari warung mamak. Tanpa bicara Khairi terus bangun membuntuti perempuan bertudung hijau. Herman dan Danish hanya melihat kelakuan teman mereka.

“Nak berubah konon, asal nampak perempuan cantik terus kejar,” omel Darnish.

Perempuan bertudung hijau kini di simpang tiga jalan besar, teragak-agak untuk melintas. Khairi ambil peluang ini untuk menegur.

“Assalamualaikum Cik Hidayah,” memandangkan perempaun bertudung ungu dalam mimpinya itu dikatakan hidayah dari Allah menurut Ustaz Dhafa, Khairi memanggil perempuan bertudung ungu dalam mimpinya dengan nama itu. Khairi tak menyangka nama itu menyebabkan perempuan bertudung hijau berpaling. Di bawah samar lampu jalan yang benderang, Khairi pasti itu perempuan bertudung ungu dalam mimpinya. Tapi perempuan bertudung hijau itu seperti terkejut melihat Khairi dan terus berlari melintas jalan. Khairi mengejar dari belakang tanpa menyedari ada kereta sedang bergerak laju ke arah mereka.

Kereta itu membunyikan hon, menyebabkan perempuan bertudung hijau memandang ke arah kereta. Seakan limpahan cahaya lampu kereta tersebut membuatkan perempuan bertudung hijau itu kaku tidak bergerak. Khairi sepantas kilat menolak perempuan bertudung hijau ke tepi tetapi tidak sempat menyelamatkan diri. Khairi terpelanting ke tengah jalan dengan kesakitan terlampau. Jeritan seorang perempuan dan suara panik seorang lelaki yang berjaya ditangkap gegendang telinganya sebelum semuanya menjadi gelap, lebih gelap dari malam.

Wahai kekasihku,

Sekali lagi aku rasa amat bersyukur dapat mengenali kekasihku walaupun dalam masa yang sungguh singkat. Andai ini takdir yang telah ditentukan aku terima dengan setulus hati. Tapi seandainya waktu dapat diundur, aku pasti ingin mengenali kekasihku dengan lebih mendalam. Andainya aku diberikan satu lagi kesempatan, satu lagi peluang, aku ingin terus mendamba cinta kekasihku. Demi kasih kita, aku ingin terus merasai keajaiban rasa sayang kekasihku kepadaku, sebelum kita bertemu. Tapi andainya kekasihku inginkan aku kembali, aku cuma ingin ucapkan, maafkan aku kekasihku, kerana melupakan kekasihku selama ini. Kekasihku, Tuhanku, Yang Maha Kekal, terimalah taubat hamba-Mu yang hina ini.

Amin, amin, Ya Rabbal Alamin.

Khairi mendengar suara perempuan bertudung ungu mengalunkan Surah Yassin. Khairi cuba buka mata dengan sedaya upaya. Alunan bacaan itu terhenti. Setelah kedua matanya dapat menerima cahaya sekeliling, Khairi melihat perempuan bertudung ungu itu tersenyum manis duduk di sebelah kanan tempat dia berbaring, cuma kali ini perempuan itu memakai tudung putih.

GIANT SHAH ALAM

26-11-2012

*Inspirasi dari lagu ‘Erti Kasih’ nyanyian Izwan Pilus

Sunday, March 10

Lajijan Lajak

little-girl-smiling

“Bila dah berjanji kita kena tunaikan.”

Kerana satu ayat yang pernah aku tuturkan padanya, kini aku berada di sini. Pusat membeli-belah ini gamat dengan orang ramai. Menurut laman sosial yang boleh dipercayai, suspek berada di sini. Suspek dibayar untuk menghiburkan pengunjung membeli-belah di hari Ahad yang cerah ini. Tapi aku tak nampak lagi hidung mahupun spek hitam suspek.

“Thedapkan suala Tia,” gelagat kanak-kanak perempuan tujuh tahun itu aku rakamkan dalam DSLR.

“Sedap sangat. Tapi bukan lirik lagu tu lain ke? Macam jauh sangat larinya,” selorohku.

“Lilik athal lagu ni kan untuk pelempuan, nanti olang ingat Tia nak beshinta dengan pelempuan. Lagi pun thebenanya, Tia nak olang tu denga Tia nyanyi lagu ni,” malu-malu Tia menjawab.

“Eh, kecik-kecik dah menggatal.”Gelak Tia penawar luka hati aku.

Memoriku terganggu dengan tepukan gemuruh dari penonton. Bukan persembahan suspek. Dari belakang sound system aku terdengar penjaga sound system itu berbicara dengan seseorang di telefon.

“Baby, sayang tengah kerja ni.... Mana ada sayang tengah mengorat.... Nanti lepas habis je event ni sayang bawak baby pergi Sunway Pyramid... Ya, sayang. Jangan risau... Love you too...”

Nilah masalahnya kalau tak percaya kat couple sendiri. Macam manalah kalau diorang dah kahwin nanti. Mesti haru Facebook dengan Twitter diorang.

Hari itu aku dapat kesan sugul Tia. Tia asyik diam. Taman permainan yang penuh dengan kanak-kanak riang itu takkan meriah untukku andainya tawa Tia tidak menjadi irama telinga aku.

“Kenapa ni Tia? Senyap semacam je.”

“Tak ada apalah. Tia masham biatha je.”

“Macam biasa Tia hari ni lain sangat dari macam biasa Tia hari-hari,” muka sepuluh sen aku buat Tia senyum hambar. Dan Tia masih senyap.

“Chik, janji tu apa?” Tiba-tiba soalan tu muncul dari mulut mungil Tia.

“Janji? Hmm, janji tu kalau ada orang mintak kita buat sesuatu dan kita setuju, kalau campur dengan perkataan ‘janji’, kita kena buat apa yang orang tu mintak sampai selesai,” aku tak hafal Kamus Dewan, jadi aku rasa itu penerangan aku yang terbaik.

“Walaupun olang tu mintak kita buat benda pelik?”

“Bila dah berjanji kita kenalah tunaikan.”

“Kalau Tia mintak Chik janji tolong Tia boleh?” Ayat Tia hari ni buat aku rasa lain macam.

“Boleh. Tolong apa, Tia?”

“Ingat tak Tia ada nyanyi thatu lagu?”

“Ingat...” Eh, takkanlah. Aku bundarkan mata pada Tia. Tia anggukkan kepala sambil tersenyum kambing comel kepadaku. “Tia serius?”

“Yela... Tia tak main-main ni.”

“Ok. Nanti Chik prepare lagu tu, masuk dalam cd bagi pada dia, okey?”

“Tak nak.” Gelengan kepala Tia menambahkan pelik aku. Apa kena dengan Tia hari ni? “Tia nak kalau boleh dia denga on de shpot path tu ada lamai olang. Ha, ha. Tak boleh ngelat. Kata dah janji nak tolong Tia kan?”

Aku pulak yang terkena ni.

Hampir kesemua penonton menyeru nama suspek. Itu que aku. Tukang jaga sound system aku hampiri.

“Abang,” aku panggil tukang jaga sound system.

“Ada apa, dik?”

“Tadi ada sorang akak ni, dia cari abang. Dia marah sangat sampai saya tak faham apa yang dia cakap.”

“Dah tu, apa kaitan dengan aku?” Amboi tukang jaga sound system ni. Takpe, banyak tekanan.

“Akak tu cakap kalau abang tak bawak dia pergi Sunway Pyramid sekarang, dia nak naik atas pentas, umumkan yang korang clash.” Ayat gebang aku membuatkan dia berpaling padaku.

“Mana akak tu sekarang?” Tau pulak tukang jaga sound system ni gelabah.

“Last saya nampak akak tu kat sana. Tapi akak tu kan ada kaki.” Senyumanku telah pun aku isi dengan sinis yang sangat padat. Tanpa banyak kata, tukang jaga sound system berlari meninggalkan sound systemnya. Peluang aku...

Dengan satu laptop untuk mengawal background music pusat membeli-belah hari itu ditinggalkan terbuka, aku sambungkan pendrive-ku ke laptop tersebut. Dengan beberapa sentuhan magik dari jariku, maka berkumandanglah suara Tia yang membingungkan suspek dan mereka yang mendengar. Sebelum aku ditangkap, aku beredar dari sound system ke tingkat satu pusat membeli-belah itu dengan tenangnya.

Hari itu seperti biasa aku ke taman permainan bertemu Tia. Tapi Tia tak muncul. Aku menanti di bangku yang sama aku selalu berborak dengan Tia.

Seraut wajah asing menyapa mataku. Wajah sedih seorang ibu, tanggapan pertamaku mungkin anaknya hilang. Tapi ibu ini terlalu tenang untuk anak yang baru hilang.

“Ini Chik yang selalu jumpa Tia ke?”

“Ya saya. Mak cik ni siapa?”

“Saya mak Tia. Tia tak dapat datang hari ni.”

“Kenapa mak cik? Tia tak sihat ke?” Aku tak pasti kenapa tapi soalan aku mengundang air mata di wajah itu. Mak Tia terduduk di bangku dengan sedu sedan. Aku menanti sedannya reda.

“Tia dah meninggal.” Aku seperti merasakan ada kilat memanah jantung, menikam hati aku mendengar khabaran itu.

“Kami kesan penyakit ni bila pelat Tia tak pernah berubah. Doktor pun kata umur dia tak panjang. Kami tak cakap apa-apa pada dia, tapi dia macam tahu yang dia tak akan lama dengan kami. Hari tu, Tia gembira sangat bila kami cakap nak bawak dia balik kampung. Dia gembira sampai, sampai... Mungkin mak cik tak patut bagi dia ketawa,” makin ku dengar luahan hati mak Tia, makin murah air mata aku. Aku dapat merasakan satu kawah telah terbentuk di hati aku dengan sakit yang sangat dalam.

“Tia ada cakap pada mak cik kamu ada berjanji dengan Tia. Dia gembira sangat bila kamu setuju nak tunaikan janji dia. Tapi dia tak cakap apa yang kamu dah janjikan pada Tia.”

Dengan itu aku terus bergerak pulang dengan azam memperdengarkan nyanyian Tia pada suspek.

Lajijan,

Kali petama,

Tepandang wajah,

Tepegun aku dan tepethona,

Dengan thenyuman dan lilikanmu,

Membuat aku telah jatuh shinta,

Lajijan,

Mungkinkah dikau,

Inthan yang ku shari dalam jagaku,

Thelalu tebayang, temimpi-mimpi,

Hingga tebawa dalam lenaku.

Andainya dilimu thudi menelimaku

Kan ku mahkotakanmu

Laja lawak di hatiku

Walaupun bejuta lintangan yang melanda

Akanku kobankannya

Untuk memilikimu

Kau Lajijan,

Thetinggi gunung halapan

Bukalah pintu hatimu

Untuk shinta ini

Bia bekulun lama dikau ku nantikan

Themoga impian ini kan menjadi nyata

Bethamamu Lajijan

Air mataku jatuh lagi. Suara gembiranya mendendangkan lagu ini masih terngiang di telingaku. Aku tak patut naik tingkat satu. Sepatutnya aku keluar je dari sini.

“Lagu ni untuk ko lah, Zizan. Kalau pendengaran aku betullah,” aku dengar suara teman suspek atas pentas itu menggegarkan pusat membeli-belah. Aku tak tahu apa reaksi suspek. Yang aku dengar hanya gelak tawa Tia di sekelilingku. Mata aku dapat menangkap bayangan tukang jaga sound system yang kelam-kabut meneutralkan kembali kekalutan yang aku mulakan saat aku melangkah keluar dari pusat membeli-belah dengan laju.

“Bila dah berjanji kita kena tunaikan.”

Sunday, March 3

Cepat Sedar

Kali ini Jiji nekad. Berdirinya dia di perhentian bas menanti bas U80 dengan satu misi tambahan. Bas yang selalu dia gunakan untuk ke tempat kerja akan jadi medan perang antara Jiji dan Tukang Seluk Saku. Sehingga kini nasib lebih memihak kepada Tukang Seluk Saku dengan keputusan 12-0. Tapi kali ini, Jiji sudah bersiap sedia dengan ‘senjata rahsia’.
Menurut pengalamannya yang sudah, Tukang Seluk Saku akan menyelinap ke dalam bas di antara pukul 8.30 hingga 9.00 pagi. Bas hari ini muncul pada pukul 8.45 pagi. Bermula dengan Bismillah, Jiji menaiki bas yang sudah sedia sesak, memaksa dia berdiri dalam keramaian (itu yang Jiji harapkan). Dia cuba berlagak biasa walaupun hatinya berdetak kencang. Kali ini dia tak boleh kalah! Lebih-lebih lagi bila dompet edisi terhad ‘Super Junior’ menjadi taruhan.
Sedang Jiji melekakan diri dengan menyumbatkan lagu-lagu rancak dari Korea, tiba-tiba...
ZAP! Jiji terdengar satu bunyi dari beg sandang bertali satu Quicksilver-nya disusuli dengan beg Jiji tertarik ke belakang oleh satu daya. Umpan sudah mengena! Hati Jiji girang namun ditahan perasaannya dari muncul ke wajah. Bas masih bergerak laju tanpa singgah di mana-mana. Jiji memulakan kiraan dalam senyap. Sejurus kiraannya mencapai angka 60, dia melangkah ke hadapan. Tubuh gempalnya menjadi halangan untuknya bergerak dalam bas yang sudah mampat. Perlahan-lahan, Jiji sudah berada di sebelah pemandu bas, seorang lelaki gendut berambut lebat dan bermisai kelabu.
“Pak cik, boleh pinjam mike tak?” Pinta Jiji.
“Tak boleh! Ni kegunaan pak cik je. Tak boleh buat main,” tegas pemandu tersebut.
“Tapi pak cik, ni soal hidup dan mati,” muka serius Jiji membuatkan pemandu bas itu berfikir sambil matanya menatap lebuh raya (kang eksiden nanti siapa nak tanggung?).
“Kamu bagitahu pak cik untuk apa kamu nak guna mike tu. Biar pak cik announce-kan,” jawapan itu susah cukup buat Jiji menarik nafas lega.
.......................................................................................................................................................
“Perhatian kepada sesiapa yang terambil dompet kulit warna hitam bertulisan Super Junior, sila kembalikan dompet tersebut kepada tuannya sekarang,” suara garau pemandu bas itu bergema dalam kemampatan bas U80. Phiko-Phet terkejut. Sepanjang 12 kali dia mencuri dompet budak gempal bercermin mata itu (masuk yang ini dah 13 kali), inilah kali pertama budak gempal bercermin mata bertindak. Secara jujurnya Phiko-Phet sendiri tidak tahu apa yang budak gempal bercermin mata itu sumbatkan dalam begnya kali ini. Tangan kanannya yang sakit seperti disengat masih terasa, lebih-lebih lagi di bahagian bulatan merah di jari hantunya. Tapi asalkan dompet tebal budak itu berada dalam genggamannya, kesakitan itu berbaloi.
“Diulangi, perhatian kepada sesiapa yang terambil dompet kulit warna hitam bertulisan Super Junior, sila kembalikan dompet tersebut kepada tuannya sekarang. Jika tidak, anda akan mati dalam masa dua minit.”
Memang budak itu sudah gila. Tidak lama lagi bas itu akan berhenti di satu perhentian bas bersebelahan dengan taman perumahan. Walaupun itu bukan hala tujunya hari itu tetapi dia perlu turun segera sebelum ditangkap.
Namun sampai sekarang tangan kanannya masih sakit. Dan rasa sakit itu kini diiringi dengan rasa kebas, seperti menjalar ke seluruh lengan. Phiko-Phet yang berdiri berdekatan dengan pintu keluar serta-merta terbaring di lantai bas dengan bunyi yang kuat, cuba menahan pening yang tiba-tiba muncul.
Beberapa penumpang bas kecoh dengan apa yang berlaku. Telinganya tak dapat menangkap butir bicara muka-muka cemas yang cuba membantu. Namun pendengarannya berdesing apabila wajah budak gempal bercermin mata itu menghiasi penglihatannya, cuba mengangkat kedua belah tangan Phoket-Phit dengan pertanyaan:
“Kenapa tangan kiri pak cik lagi kecil dari tangan kanan pak cik?”
.......................................................................................................................................................
Tukang Seluk Saku sudah berada dalam genggaman Jiji. Diseluk setiap inci pakaian Tukang Seluk Saku itu. Akhirnya dompet kulit hitam Super Junior milik Jiji ditemui bersama lima dompet pelbagai warna dan saiz (Jiji agak kagum bagaimana Tukang Seluk Saku yang kurus bagai papan lapis itu mampu menyembunyi dompet-dompet tebal tanpa syak wasangka orang ramai). Tukang Seluk Saku itu kelihatan semakin tenat. Bibirnya kebiruan. Nafasnya kencang.
“Pak Cik! Orang tu dah nazak! Kita kena bawak dia ke hospital sekarang!” Salah seorang penumpang terpekik kepada pemandu bas. Belum sempat pemandu bas gendut itu menyusur keluar dari laluan hariannya, Jiji menegah.
“Tak payah pak cik. Kejap lagi saya nak turun,” kata Jiji sambil mengeluarkan picagari dari poket di belakang begnya. Saat picagari berisi cecair jernih itu ditusukkan ke dalam salur darah Tukang Seluk Saku, bas itu telah berhenti di Hentian KL Sentral.
“Cepat sedar ya, pak cik,” kata Jiji sebelum turun, meninggalkan Tukang Seluk Saku yang semakin teratur nafasnya dikelilingi orang ramai yang berang dengan Tukang Seluk Saku.
Sebaik sahaja bas itu meninggalkan Jiji, dia mengeluarkan perangkap tikus saiz kecil dengan sebatang jarum dicacakkan di tengah-tengah tempat letak keju. Jarum itu diselaputi cecair berlendir kuning. Kelihatan ada sedikit darah di jarum itu. Jeratnya mengena.
“Tak sia-sia aku jaga Kobra Khan minggu lepas. Best jugak jadi doktor haiwan ni,” kata Jiji (lebih kepada dirinya sendiri) sambil membalut perangkap tikus itu dengan tisu lembap sebelum dicampakkan ke dalam tong sampah berdekatan.
P/S: Cerita ini saya tujukan kepada @OfficialJiji dengan ucapan bila kita boleh lepak melalak sambil minum Sprite lagi?
(^_^)