Friday, September 21

HIKAYAT DARI I-BUKU 2

Kisah ini diperturunkan dari I-Buku kepadaku (a.k.a I-Buku saksi utama kejadian).

I-Buku masih sibuk membelek alas kaki warna merah dan alas kaki warna biru dengan mata penuh tumpuan untuk mwncari walau satu cela yang boleh mengurangkan markah mana-mana alas kaki dan membawa pulang alas kaki sempurna. Keadaan hingar-bingar di dalam pasaraya besar biru kuning yang penuh dengan kanak-kanak, remaja dan warga tua tidak mengganggu pencarian alas kaki sempurna. Tetapi, I-Buku melupai sesuatu… Sesuatu yang amat berharga.

Shahril (sila rujuk ‘Hikayat Dari I-Buku’ dalam zine ‘Selamat Malam Sayang’ Rujuk Esah Ezral di Facebook) membuat mata kuyu kebosanan tak terhingga melihat kefokusan I-Buku menilik alas kaki satu persatu. Tiap kali Shahril ingin menyuarakan kebosanan maka terdengarlah I-Buku mengeluarkan suara ular berlidah pendek (isyarat suruh Shahril diam) maka Shahril pun senyaplah di bahagian alatan rumah dalam pasaraya besar biru kuning.

Sedang bebola mata kebosanannya mengeluh halus, Shahril terpandang sebiji bola jatuh tergolek terguling tidak jauh dari menara Eiffel versi kotak susu biru perisa coklat agak jauh dari tempat Shahril dan I-Buku membelek alas kaki.

Sebagai seorang kanak-kanak 5 tahun yang pernah hampir mem-BBQ-kan rumah sendiri, idea ‘terbaik’ darinya pun muncul. Dengan mata yang masih memandang I-Buku meneliti tiap kedutan pada alas kaki yang bakal dibelinya dengan penuh penghayatan, Shahril berundur sepuluh langkah besar ke belakang. Pabila langkah ke-sepuluh mengikuti rentak hentakan kaki perlahannya (pada masa yang sama I-Buku masih dengan alas kaki), matanya meng-zoom-kan pengllihatan untuk mencari bola tergolek terguling berdekatan menara Eiffel kotak susu biru perisa coklat. Bola tergolek terguling dikesan. Sebelum ada pekerja pasaraya besar biru kuning muncul, adalah baiknya dia menuju ke sasaran. Berdiri di hadapan bola tergolek terguling itu, dia memandang sekeliling: seorang ibu dan seorang budak perempuan comel, seorang pak cik berambut putih dan seorang remaja lelaki yang memakai pakaian pekerja pasaraya biru kuning. Kemudian Shahril mencari kawan-kawan bola tergolek terguling. Bahagian permainan selang satu rak dari menara Eiffel kotak susu biru perisa coklat, rak nombor tujuh dari bawah, nombor satu dari atas (rak paling atas dua kali ganda tinggi dari budak lima tahun, ok…). Permainan makin menarik nampaknya.

Tiba-tiba shahril meniarap sambil membidik bola tergolek terguling dari beberapa arah seperti seorang askar bersenapang membidik musush yang paling licik. Dalam fikiran Shahril: 32 darjah, 2 langkah sederhana.

Budak perempuan comel yang pelik dengan perilaku Shahril menarik hujung baju ibunya tetapi tak diendahkan. Pak cik berambut putih pula menggeleng dan remaja lelaki pekerja pasaraya besar biru kuning buat tak tahu.

Inilah masa yang dinanti-nanti. Showtime! Shahril berdiri, berundur dua langkah sederhana ke belakang dan menendang bola tergolek terguling ke arah menara Eiffel kotak susu biru perisa coklat.

Saat bola tergolek terguling melayang di udara, masa seakan jadi sangat perlahan. Budak perempuan menutup mata menggunakan kedua-dua bulah tangan sambil menahan oksigen keluar dari paru-parunya, pak cik rambut putih menoleh kali kedua dan menepuk dahi membebel sesuatu manakala remaja lelaki pula ingin menangkap bola tergolek terguling tetapi tersadung kotak yang masih sarat dengan barangan yang dia tengah susun tadi.

Masa kembali normal saat bola tergolek terguling mengenai satu sudut menara Eiffel dan melantun masuk ke dalam rak bersama kawan-kawannya. Bunyi gegaran dari rak tersebut kedengaran girang riang ria teman kembali ke pangkuan.

Kini semua mata tertumpu kepada menara Eiffel yang bergoncang hebat seperti gempa bumi lagaknya. Tetapi gegaran menara Eiffel kotak susu biru perisa coklat semakin lama semakin perlahan berhenti seolah-olah tiada apa yang terjadi. Dan dengan terteguhnya menara Eiffel kotak susu biru perisa coklat tersebut maka puaslah hati Shahril. Dipandangnya budak perempuan comel lalu dikenyitkan matanya sebelum melarikan diri. Budak perempuan comel tersipu malu menyembunyikan senyuman.

Sepuluh langkah besar dari I-Buku. Dia berpaling mengadap menara Eiffel kotak susu biru perisa coklat.

Satu langkah besar undur…

Pak cik rambut putih menilik menara Eiffel kotak susu biru perisa coklat dengan kagum.

Dua langkah besar undur…

Pak cik rambut putih menyentuh salah satu kotak susu biru perisa coklat.

Tiga langkah besar undur…

Pak cik rambut putih tertolak salah satu kotak susu biru perisa coklat dan kedengaran bunyi kotak-kotak susu biru perisa coklat yang kecil tapi mampat itu jatuh bertimpa-timpa dari pelbagai ketinggian menghempap Pak cik rambut putih pada masa yang sama membuat I-Buku menoleh.

“Shahril! Nak pergi mana tu! Jom ke kaunter!” Kata I-Buku sambil memegang alas kaki warna ungu.

 

GOWWWIN’ UP!!!

(^_^)   

2 comments:

4umyfans said...

teruskan menulis wahai saudari. Kelak, Tuhan akan lorongkan cahaya buat niat dihatimu yang nurani....

Unknown said...

4umyfans: Terima kasih, ABAH. (^_^)