Monday, April 9

Selamat Malam, Sayang

"Selamat malam, sayang", begitulah ucapannya beserta dengan kucupan mesra di dahiku sebelum kelopak mataku tertutup saban malam. Aku tenang dengan ucapannya, dengan kucupannya yang membuatku bermimpi indah. Tapi pagi itu semua berubah.

   Tika kelopak mataku dibuka, kulihat  Syariff, suamiku (takkan boyfriend pulak! Korang punyer fikiran... Sabar jelah tau) tanpa riak wajah (muka Melayu kecuali bahagian mata. Mata sepet Cina. Badan sedang-sedang tegap, nampak berotot tapi tak ketara dan dada bidang. Tinggi dua inci dari aku) duduk di sofa anyaman rotan bersebelahan katil bilik tidur kami dengan wajah muram tanpa memandangku yang masih dengan baju tidur satin putih tanpa corak. Bila aku renung dirinya yang berkemeja putih dan seluar slack hitam, dia lantas mengambil jam tangan perak yang terletak di atas meja yang memisahkan kerusi rotan dan katil bilik tidur tanpa memandang ke arahku. Syariff kemudian bangun dan menuju ke arah balkoni sambil memakai jam tangan peraknya. Aku faham dan aku tahu. Hari itu adalah hari terakhir kami sah bergelar suami isteri. Semua kerana kecurangannya.

     Hari itu, seperti hari-hari biasa aku (muka Melayu tulen lagi jelita, muka bersegi, leher jinjang, badan macam Ayu Raudhah. Badan je...) terlewat ke restoran kegemaran kami untuk makan tengah hari. Sampai sahaja aku di restoran Frienscino sambil menguruskan rambut hitam kemerahanku yang semakin berkilauan dipanah matahari (kelam-kabut baru habis mesyuarat), aku dapati Syariff bersama seorang wanita sebayaku. Saat aku mulai dekat, mereka bercumbu. Ya, mereka bercumbu depan mata aku! Bibir yang selalu berikan ucapan indah kucupan manis setiap malamku kini menyentuh bibir wanita lain yang tak pernah ku tahu siapa. Dan aku tak ambil peduli siapa. Tanpa kata aku keluar dari restoran itu.  

   Sejak itu aku diam dan dia tidak pernah menyapa. Tiap malam aku mimpikan kucupannya di dahiku. Seakan dia selalu melakukannya saban malam padahal dia tidak memandang wajahku dan aku tidak langsung menatap mata sepetnya.  

   Di dalam kereta Iswara hitam milik Syariff, kami masih lagi diam. Aku yang berbaju kurung putih tanpa corak dipadankan dengan tudung bawal putih kosong hanya duduk di sebelah memerhatikan Syariff memandu. Ada air jernih di wajahnya. Aku cuba menyeka air jernih itu tetapi belum sempat tanganku menyentuh wajahnya, Syariff berpaling ke arah tingkap kereta dan mengelap sendiri air matanya menggunakan lengan bajunya. Dengan jiwa yang bagaikan lemas berendam dengan air mata sendiri, aku hanya diam mencari secebis kegembiraan dari luar kereta Iswara hitam.

     Tempat menunggu sebelum kes kami diutarakan. Aku cuma mahu dia berbicara denganku. Mungkin kata maaf atau apa yang ku lihat itu hanya salah faham. Tapi dia masih diam. Senyap. Kelihatan dua tiga orang perempuan bertudung putih (fesyen kain boleh regang yang dijahit di bahagian leher, bukan seperti fesyen yang aku pakai ketika ini) lalu di hadapan kami. Baiklah, biar aku bersuara. Tetapi... 


   "Syariff," suara seorang perempuan menyapanya. Kami berpaling ke arah suara itu. Penghancur rumah tangga kami. Tak sangka dia masih berani menunjukkan mukanya padaku setelah dengan beraninya bercumbu dengan suamiku di khalayak ramai (tolong jangan buat aku ingat lagi hal tu. Tolonglah).   

  "Syariff," kata perempuan itu manja. "Aku bersimpati dengan keadaan kau sekarang. Nanti, bila kau rasa sunyi kau datanglah rumah aku. Aku sentiasa ada untuk kau," kata perempuan yang aku tak peduli nama dia siapa. Orang macam ni ke yang Syariff nak jadikan isteri lepas bercerai dengan aku? Boleh dia cakap macam tu padahal aku kat sebelah Syaroff je kot. Memang perempuan... 

   PANG!!! Satu tamparan singgah di muka perempuan itu. Tapi tamparan itu bukan tamparan dari aku, tamparan itu dari Syariff.

     "Pergi mampuslah kau, perempuan gila! Pasal kaulah hidup aku macam ni. Sampai mati pun aku takkan mengadap muka kau, apatah lagi nak dengar suara kau. Baik kau berambus sebelum penampar tu jadi panumbuk atau penendang. BAIK KAU BLAH!!!" amuk Syariff pada perempuan yang kini terkesima di lantai sambil menahan pedih penampar yang melayang. Dengan bekas jejari Syariff yang masih merah di wajahnya, dia bangun dan berlari dari kami dengan wajah penuh terkejut. Aku? Aku tak sangka Syariff akan melakukan perkara sebegitu. Seingat aku dia seorang yang sangat budiman dan tak pernah menyakiti perempuan termasuk aku (menyakiti secara fizikallah). Adakah dia masih cintakan aku? Tapi kenapa dia diam?   


  Sebaik perempuan yang aku tak peduli nama dia siapa tu hilang dari pandangan kami, Syariff terduduk menangis semahunya dihadapanku. Satu lagi sisi Syariff yang tak pernah aku lihat. Dia tak pernah menangis sebegini teruk dihadapanku. Dengan sedu sedan dan air mata yang menitis seumpama Air Terjun Niagara membuatkan aku melutut di hadapannya, sekali lagi cuba untuk menyeka air matanya.   

  "Encik Syariffullah, anda dah sedia? Sila masuk," tanya seorang lelaki berwajah seperti seorang ustaz yang wajahnya selalu aku nampak di kaca televisyen. Dia juga memakai kemeja putih tetapi berseluar coklat gelap dan bertali pinggang (Kejap. Bukan peguam syariah kena pakai kot ke? Baru aku perasan Syariff tak pakai songkok. Apa maknanya ni?).

     Aku melangkah bersama Syariff masuk ke dalam bilik tersebut. Bilik itu tiada hakim, peguam mahupun saksi. Yang ada hanyalah lelaki berwajah ustaz yang popular di televisyen, mama, papa, ummi dan abah yang bermata sembap merenung sekujur tubuh di atas katil hospital dengan alat bantuan pernafasan di meja kiri. Dan sekujur tubuh itu adalah aku. 

   Aku dah ingat. Selepas aku keluar dari restoran hujan mulai lebat. Syariff mengejarku dari belakang. Aku bersandar di salah satu pokok yang digunakan untuk menghiasi kaki lima jalan raya (penatlah lari dari Syariff. Nak rehat a.k.a sembunyi dari dia). Tiba-tiba aku rasakan berjuta tan elektrik merenjati badanku. Pokok tempat aku berlindung disambar kilat. Aku tidak tahu berapa lama aku berkeadaan sedemikian. Semuanya bercelaru dan aku hilang dalam keliru. 

   Aku berdiri sebelah kiri Syariff sambil memandang jasadku yang dipenuhi balutan dari kepala hingga kaki dengan sayu. Kini aku mengerti bisu Syariff kerana tidak mampu mendengar suaraku. Buta Syariff kerana tidak mampu menatap wajahku dan tingkahnya terhadap perempuan yang aku tak peduli dia siapa itu kerana dia terlalu cintakanku. Dan mimpi kucupannya saban malam adalah realiti di mana dia mengucup dahi jasadku persis yang selalu dilakukannya hanya untukku.    

  "Setiap yang berlaku ada hikmahnya, Syariff. Bersabarlah. Biarkan dia pergi dengan tenang. Sudah genap seminggu dia koma dan masih tiada perubahan. Jangan biarkan jiwa dia terseksa lebih parah," kata lelaki berwajah ustaz popular itu.

     "Tapi saya terlalu sayangkan dia, doktor," kata Syariff (laa... Doktor rupanya...) yang sedang duduk di sebelah katilku sambil menggenggam erat jemariku yang melecur teruk. Aku dapat lihat cincin perak bertatah batu berlian kecil di jari manisnya seakan bersatu dengan cincin perak bertatah berlian di jari manisku (tanganku sahaja yang berbalut. Jariku tidak).

     "Doktor tahu dan doktor pasti dia pun tahu," tangan kanannya menyentuh bahu kanan Syariff tatkala matanya terarah ke tempat rohku berdiri (apakah...). "Tapi dia perlu pergi, Syariff. Syariff nak tengok dia begini sampai bila? Keadaan ni hanya akan buat Syariff menderita dan dia lagi sengsara. Tolong ya Syariff," doktor memujuknya lembut. 

   Aku bersetuju dengan doktor. Aku lihat betapa tidak keruannya dia. Betapa kusut hatinya. Aku tak sanggup dia begitu lagi. Tapi bagilah aku peluang ucapkan kata hati aku padanya buat kali yang terakhir.      Syariff mengucup dahiku. Aku dapat rasakan kehangatan bibir dan airmatanya di dahiku.

     "Selamat malam, sayang," ucapnya, seperti malam-malam yang lalu tapi dengan  linangan air mata. Mesin bantuan pernafasanku ditutup.   

  "Walaupun pagi dan malam kita kini berbeza, saya tetap dan akan terus cintakan awak," kubisikkan ke telinganya. Seperti mendengar bisikanku, dia berpaling ke arah ku. Hidung kami hampir berlaga. Aku mencari diriku di dalam mata coklatnya tetapi hampa. Kedengaran alat yang mengeluarkan bunyi 'bip' bergarisan turun naik merah dan hijau berbunyi semakin bingit dan menggila (tak tahulah ia disebabkan alat pernafasan aku dah ditutup atau dadaku masih berdebar-debar setiap kali menatap wajahnya dalam jarak 'hidung hampir berlaga'. Tapi aku yakin dengan sebab yang kedua). Imej terakhir yang aku lihat dan rasakan waktu itu adalah sentuhan hangat bibirnya di tanganku sebelum imej dan perasaan itu kabur dan berterbangan umpama bintang bersinar. Dan setitis air mataku muncul dari jasad sebelum terdengar bunyi 'bip' yang sangat panjang.

P/S: Tiada kaitan dengan yang hidup mahupun yang meninggal dunia. Kalau ada pun coincidence je. Dan ya, post hari ni sangat panjang...  Sebelum aku terlupa, cerita ni adaptasi dari lagu ‘Selamat Malam’ nyanyian Sleeq. A sad rap (for me).

(^_^)

2 comments:

Doktor Love said...

i loike!

Unknown said...

Literally, verbally and physically ke? Bukan ko dah baca dari tepon aku ke? Tengkiu baca banyak kali. :-)