Sunday, April 22

Rumah Agam Tengah Taman Negara part 2

     Che' Lah terpisat-pisat. Dia seakan terdengar bunyi sesuatu disiat-siat. Dia yang tidak faham bagaimana dia boleh berada dalam bilik tamu yang ada katil saiz permaisuri dari kayu jati terus bergerak turun dari katil. Bila dia keluar dari bilik yang ada katil permaisuri, cermin bulat yang dah berhabuk dengan almari kayu sebesar pintu rumahnya sendiri, bunyi tersiat-siat seperti ada orang menyiang daging digantikan dengan bunyi besi dan batu berlaga.  

   Semakin Che' Lah mendekati, bunyi-bunyi itu makin kuat. Dia dapat rasakan degupan jantungnya beriringan dengan bunyi-bunyi tersebut. Dia berjalan berhati-hati bagai seekor kucing mengendap tikus besar yang lazat lagi enak, pada masa yang sama tidak ingin si tikus tahu kucing memerhati.  

   Pabila dia berada di hadapan pintu yang menjadi pemisah di antara bunyi yang semakin kuat dan dirinya, debaran di dadanya makin kencang. Sekencang angin yang bertiup di tingkap meliukkan pepohonan yang meliar di sekeliling rumah agam. Tombol pintu kuning disentuh. Sejuk umpama air batu yang tak pernah meninggalkan peti sejuk.    

  Tombol pintu kuning yang bulat itu diputar perlahan. Che' Lah tutup mata rapat-rapat sampai nampak kedut di hujung mata dan dahi kerana menyangka akan ada keluar bunyi keriuk karat engsel seperti filem-filem hantu Melayu, tetapi apabila mendapati tiada satu bunyi pun yang keluar melainkan bunyi orang siang ikan tadi, dia menghembus nafas kelegaan.    

  Pintu itu dibuka sedikit sahaja. Cukup untuk mata belah kanannya mengintai apa yang menyebabkan bunyi siang ikan yang sangat kuat itu. Belum sempat dia mengintai, hidungnya menangkap bau hamis sekolam penuh darah yang tak pernah dia bau sebelum ini. Bau darah yang sangat banyak itu membuatkan Che' Lah hampir pitam tapi digagahkan juga matanya mengintai bunyi siang ikan yang masih berkumandang.  

   Che' Lah nampak belakang seseorang berambut panjang putih berbadan kurus rendah pakai baju karung guni sedang menyiang daging. Cahaya di dalam bilik itu yang hanya bertemankan lilin bersebelahan lelaki itu menyebabkan Che' Lah tidak dapat mengagak daging apakah yang disiang lelaki itu.  

   Dengan rasa ingin tahu yang sangat kuat, dia cuba masuk ke dalam bilik yang lebih menyerupai tempat sembelihan haiwan ternakan dan cuba mengintai dari dekat. Che' Lah dapat melihat ada bahagian bulat yang telah terpisah dari daging tersebut. Bahagian bulat itu seperti tidak diendahkan oleh lelaki karung guni tersebut.  

   Che' Lah bersembunyi di belakang peti kayu besar warna coklat bersebelahan dengan tempat bahagian bulat itu diletakkan. Dia cuba meng-adjust-kan kornea matanya supaya dia dapat melihat dengan lebih jelas lagi. Alangkah terkejut bukan kepalang apabila dia melihat mata, jatuh ke hidung kemudian mulut bahagian bulat itu yang akhirnya membentuk kepala Aliff!

     Kejutan yang sangat dahsyat itu telah membuat badannya tersentak kuat dan merempuh kotak kayu yang melindungi dirinya. Lelaki karung guni berpaling. Che' Lah terus bersembunyi di balik kotak kayu tersebut dengan peluh yang keluar dari badan sama banyak dengan degupan jantungnya ketika ini.  

   Bila jantung Che' Lah beroperasi secara sempurna semula barulah dia memberanikan diri melihat ke tempat lelaki karung guni menyiang daging Aliff tetapi lelaki karung guni sudah tiada. Tiba-tiba dia rasakan tempat yang dia bersembunyi semakin gelap. Seperti ada bayang-bayang menyelubungi sekeliling. Sekejap! Bayang-bayang? Che' Lah berpaling untk memastikan.  

   Tekaan Che' Lah betul tetapi dia terlambat. Sebaik sahaja dia berpusing lelaki karung guni terus mencantas leher Che' Lah seperti mencantas lalang yang hanya menyusahkan orang.  

..........................................  

   Matahari bersinar terang di tapak perkhemahan. Suasana yang hanya milik burung dan cengkerik itu terganggu apabila terdengar bunyi zip ditarik dari khemah berwana biru tua. Aliff dengan wajah terpinga-pinga keluar dari khemah sambil memegang pinggang sebelah kanan. Kesakitan yang tidak tahu dari mana wujudnya itu menjadikan dia seperti sedang melakukan regangan.  

   "Awal bangun, " Che' Lah mencelah dari balik khemah kuningnya. Tangannya sibuk mengurut leher yang terasa sakit tiba-tiba.  

   "Biasalah bila dah kumpul cukup tenaga. Tapi rasanya tak jadilah nak jungle trekking," kata Aliff.  

   "Laa... Kenapa pulak. Kan malam tadi dia yang beria sangat nak berjungle trekking," mulut Che' Lah menuturkan perasaan yang jauh berbeza dari kata hatinya.  

   "Aku baru teringat. Ada satu lagi kertas cadangan yang aku kena buat. Tadi bos dah call sampai berdesing telinga, lenguh pinggang ni duduk atas tanah tu dengar bos bagi ceramah motivasi," nak tak nak Aliff terpaksa menyembunyikan mimpi anehnya malam tadi. Dan entah mengapa bau tengik hapak bangkai gagak masih belum mahu hilang dari rongga hidungnya. Dia tidak mahu dicop penakut kerana sebuah mainan tidur.

     "Ye ke? Aku baru nak cakap kat kau yang aku rasa tak sihat pulak hari ni. Ingat nak tinggal dalam khemah je. Memandangkan kau dah cakap macam tu baik kita kemas dan balik jelah. Boleh aku pergi klinik," kata Che' Lah berlagak biasa. Padahal hatinya berasa lega tidak perlu ke rumah agam yang dimimpikannya malam tadi. Tengok muka Aliff bercantum dengan badannya sekali dan terbayangkan kepala Aliff dalam dulang dengan mata terbeliak sudah cukup buat dia rebah.  

   "Kau nak pergi klinik? Biar aku hantarkan. Tapi mandi sungai pepuas dulu. Amacam?" cadang Aliff.  
   "Terbaik! Kaulah ketua perangka dan perencana bertauliah aktiviti Taman Negara yang paling best pernah aku jumpa." Che' Lah angkat ibu jari ala-ala pengasas produk kesihatan yang sekarang jadi penerbit filem tak berapa nak laku.  

.............................. ..................   

  Malam mereka bermimpi.

     Di tengah-tengah trek nombor empat, betul-betul di tengah Taman Negara Bukit Bauk secara longitud dan latitudnya terdapat sebuah rumah agam tiga tingkat biru langit yang masih cantik kondisi dindingnya bersama halaman yang dihiasi dengan pelbagai bungaan-bungaan indah yang sejuk mata memandang. Walaupun malam semakin hitam tetapi halaman rumah agam itu bercahaya dengan kehadiran lampu neon putih yang cukup-cukup menerangi bungaan di situ.  

   Kelihatan lampu bilik bacaan di tingkat atas masih menyala. Berhadapkan dengan sebuah buku tebal kulit hitan yang tiada bertulisan di muka depan, seorang lelaki sedang melakukan pergerakan sambil mulut terkumat-kamit membacakan sesuatu. Tangan kirinya yang bergelang manik hitam berasa puas apabila upacara menghantar mimpi ngeri menggunakan telepati itu sudah selesai.

     Kerana rumah agam tengah Taman Negara itu miliknya. Milik dia seorang.
Posted via BlogPost

No comments: