Wednesday, April 18

Hujan

Hujan. Aku suka semuanya tentang hujan. Bau hujan yang menyegarkan rongga respirasiku. Bunyi hujan yang melantunkan pelbagai irama dengan tempo yang sama. Perasaan bahagia saat tiap titis hujan menyentuh kulitku seumpama belaian seorang ibu yang memeluki seorang anak yang bergejolak jiwanya.

Dan pagi itu hujan. Tidak seperti insan lain ( berlari ke tempat berteduh, tutup pintu dan tingkap) aku berjalan perlahan seumpama seorang puteri menaiki takhta di hari keputeraan dan menikmati keindahan salam tiap irama, tiap nafas dan tiap titisan hinggalah aku ternampak satu lopak berbentuk hati betul-betul di tepi padang bola taman perumahanku yang baru satu minggu aku mastautinkan dengan jayanya (ini hujan pertamaku di sini). Lopqk itu bersebelahan jalan tar yang memisahkan padang bola dengan sederet rumah banglo dua tingkat.

Di hadapan lopak air itu aku berhenti (lamalah jugak). Aku terpesona dengan bentuk hati sempurna yang dipenuhi air tanah keruh yang berkocak bila titisan hujan menghempas lopak. Aku cuba mendalami setiap hakisan sempurna lopak hati, umpama aku sedang melihat lukisan tiga dimensi tanpa perlu pakai cermin mata kanta biru dan merah. Aku makin gembira apabila titisan hujan menyentuh lembut lopak hati, gegelung ajaib muncul dan kadang kala berlaga antara satu sama lain.

Tiba-tiba aku rasakan hujan tidak lagi menyentuh kulitku, padahal irama hujan masih beekumandang. Ku pandang atas, kelihatan sebatang payung kelabu menjadi benteng di antara aku dengan hujan, benteng yang dipegang oleh seorang lelaki Melayu hidung mancung kulit cerah tanpa senyum (wajahnya boleh dianggap menarik perhatian, kalau dia tak bawak payung tu) mengeluarkan kata-kata klise tanpa perasaan.

"Jangan main hujan. Nanti demam."

.................................................

Hujan. Aku benci semuanya mengenai hujan. Bau tanah lembap yang menyesakkan saluran oksigen. Bunyi yang membingitkan gegendang telinga lebih-lebih lagi bila guruh berdentum ibarat gendang sumbang diletakkan mikrofon berkuasa seribu kali ganda. Perasaan menyampah dan tak boleh belah saat hujan membasahkan diri aku yang dah sedia kering dan bersih secara tiba-tiba dan tanpa diduga seperti seorang pembuli tegar mencurahkan bertan-tan minyak pada hatiku yang berapi kemarahan.

Dan pagi itu hujan. Ingin sahaja aku menutup tingkap berpintu almari Jepun kaca dalam bilik aku di tingkat dua rumah banglo putih dua dari hujung berhadapan padang bola dan menghumbankan diriku ke dalam lena sehingga panas matahari menyapa ramah mataku. Tapi entah sial apa pagi itu, tingkap berpintu almari Jepun kaca itu tidak dapat ditutup dan aku kembali bernostalgia memori pedih dalam hujan.

Di padang bola hadapan rumahku yang dipisahkan oleh jalan tar yang lurus aku memadu kasih dengan dia. Waktu itu sunguh bahagia. Tetapi langit yang secerah lampu LED telefon bimbitku bertukar kelabu keliru dan terus memuntahkan airnya. Sebagai seorang insan normal (yang kebetulan memakai jaket berhood), aku sarung hood ke kepala dan terus berlari mengelak hujan. Bila kutemui tempat berteduh, dia tiada di sisiku. Rupanya dia masih di situ, di tepi padang bola taman perumahanku. Ku langkah semula kakiku kepada dia. Wajah bujur sirih cerahnya mencuka. Dia tidak menyangka aku pentingkan diri sendiri. Di bawah hujan itu dia pituskan ikatan kasih kami. Aku yang terpinga melutut dan merayu kepadanya supaya jangan tinggalkan aku. Tapi dia selamba menjawab aku yang meninggalkannya dahulu sebaik sahaja aku sarungkan hoodku dan lari dari hujan tanpa memegang tangannya. Aku menjerit, mencabut rumput di sekeliling kakiku. Dan hujan terus menghakis tanah yang ditarik akar rumput hingga muncuk bentuk hati. Aku dapat rasakan sedikit demi sedikit hatiku mengecil lalu jatuh ke dalam lopak itu bersama air mataku lantas termeterailah perjanjian kebencian aku terhada hujan. Apakah lopak tempat aku melutut suatu ketika dahulu terus menjadi lopak atau telah ditumbuhi rumput baru? Perasaan ingin tahu melintas sesaat yang membuatkan aku menjengah ke luar tingkap berpintu almari Jepun kaca aku. Ya, lopak itu semakin besar dan hati dalam jasadku semakin terhakis dan tak punya jiwa.

Tiba-tiba ku terlihat seorang perempuan sedang asyik memandang lopak memori cinta sakit hatiku dengan penuh khusyuk. Aku pasti itu bukan dia kerana dia telah lenyap dari hidup aku tiga tahun yang lalu. Habis tu perempuan di tengah hujan kekuyupan tu siapa? Tanpa berfikir langsung tanganku capai payung kelabu dan pergi melindungi perempuan itu dari hujan durjana (pada masa yang sama menggunakan pendekatan demam supaya perempuan itu berlalu dari lopak memori cinta sakit hatiku. Perempuan itu memandangku. Wajah hitam manis perempuan itu membuat jantungku berdegup kencang (lebih dahsyat kencang debaran dadaku berbanding saat pertama kali aku menemui dia). Dan matanya seakan berkata (yang tanpa aku sedari aku memahaminya):

"Jangan ganggu kegembiraan aku boleh tak?"



Posted via BlogPost

2 comments:

azrealiema said...

baca sambil dengar ny..http://www.rainymood.com/.. p/s: saya suka hujan ^_^

Unknown said...

Terharu aku. Thank you. :-)