Dia rajin makan aiskrim popsikel. Kalau nampak muka bujur sirih dengan tudung bawal hitam lain hari lain corak, mesti aiskrim popsikel hijau akan ada kat tangan dia. Bukan aku tak pernah makan aiskrim macam tu tapi bila usia dah meningkat, aiskrim popsikel aku tak akan layan. Jadi aku fikir seorang perempuan (Melayu) dalam lingkungan 20 hingga 25 tahun makan aiskrim popsikel, sangat budak dan sangat miskin.
Sehinggalah suatu hari... Aku (muka lelaki Cina, dada bidang, boleh dikatakan aku seorang yang sasa) dengan rambut hitam panjang paras kolar (boleh buat gaya pacak atau gaya rambut jatuh) sedang kelam kabut nak masuk bilik pensyarah hantar assignment. Memandangkan kampus kitorang sangat advance, semua tangga telah digantikan dengan lif. Dengan baju kemeja putih aku hampir lencun kerana berlari ala-ala pelari pecut kebangsaan, aku dapat merasakan beberapa mata memandang singlet hitamku yang semakin kelihatan (bajet hot. Heehe... Memang hot pun), aku dapati lif ke bilik pensyarah aku hampir ditutup. Aku tingkatkan kelajuan dan akhirnya... Aku berjaya masuk ke dalam lif tanpa perlu menunggu lebih lama (buatlah assignment awal-awal ye kengkawan. Jangan sejam sebelum deadline baru nak hantar).
Sedang aku kegembiraan ke bilik pensyarah di tingkat 5, aku terperasan bahawa gadis popsikel berada di sebelah ku. Kali ni popsikelnya tiada di tangan. Dan saat lif mula bergerak, aku juga terperasan bahawa lampu tingkat 5 bernyala tanpa sempat aku tekan. Takpe, tingkat je sama, arah tujuan lain-lain...
Sedang aku berharap tingkat 5 akan ku jejak dengan jayanya, tiba-tiba daya tolakan graviti dari kaki aku berhenti mendadak. Kami tersadai entah di bahagian mana tingkat berapa. Mujur lampu di dalam lif itu masih menyala. Gadis popsikel dengan selambanya menekan butang kecemasan berwarna merah dengan gambar loceng. Kemudian dia kembali ke posisi asalnya (dia berdiri di belakang bersandar pada dinding lif sambil memandang bayangan sendiri di pintu lif).
Argh! Macam mana ni?! Kalau aku tersadai di sini untuk jangka masa yang lama aku tak akan sempat hantar assignment aku. Dan kalau aku lambat hantar assignment markah aku akan berkurang. Dan kalau markah aku berkurang mesti mom dengan dad aku akan mintak aku lupakan niat aku untuk dapat LC Fire hitam (motor terhebat yang paling aku nak tunggang). Dan (dari bayang dinding lif yang sangat berkilat macam cermin aku lihat) gadis popsikel pandang aku dengan raut wajah kesian dan menyelongkar beg sandangnya (nak keluarkan aiskrim popsikellah tu).
Argh!!! Kenapa aku perlu fikir pasal gadis miskin tu!!! Fikir apa akan jadi kalau kau tak boleh keluar dari sini. Orang cakap kalau lama sangat terperangkap dalam lif akan menyebabkan udara jadi semakin sikit dan lama-kelamaan mangsa akan mati. Aku tak nak mati sekarang. Aku... Wargh!!! Serabutnya kepala otak aku!!!
"Erm... Untuk awak", gadis popsikel menghulurkan jejari wafel bersalut coklat di tangan kanannya manakala tangan kirinya memegang bungkusan merah yang dah koyak.
"Takpe, saya tak lapar sekarang", aku memang bongok, padahal perut tengah putar lagu 'Keroncong Buat Perut' lima minit sekali. Aku tak sempat nak alas apa-apa masa kat rumah (kelam-kabutlah katakan). Sekarang fikiran pun tengah biul.
"Semua orang perlukan rehat dari semua perkara, termasuk rasa panik", tangan gadis popsikel masih menghulurkan jejari wafer bersalut coklat padaku. Dan entah bagaimana, ayat itu telah berjaya membuat jejari wafer bersalut coklat berada di celah jemariku. Dia nampak ke aku panik? Eh, kejap. Bukan perempuan ni suka makan aiskrim popsikel ke? Dari mana datangnya jejari wafer bersalut coklat ni?
"Technician buat lif maintenance minggu ni. Sebab tu lif sangkut. Kejap lagi oklah tu", gadis popsikel seakan memujuk (aku ni siapa sampai dia nak pujuk? Aku memang perasan).
"Tapi tak ada pun kat board pasal maintenance ni?" Selalunya orang pejabat dengan senang hatinya akan membazirkan dakwat printer dan kertas untuk perkara remeh-temeh (elaun dah kena potong kot...).
"Dorang memang ada tampal tapi tertutup dengan notis 'SENARAI NAMA PELAJAR YANG MASIH BELUM MENGHANTAR ASSIGNMENT', 'SENARAI NAMA PELAJAR YANG MASIH BELUM MEBUAT BAYARAN YURAN SEMESTER INI' dengan 'SENARAI NAMA PELAJAR YANG TELAH DISENARAIHITAMKAN DARI FAKULTI'. Senarai nama tu kan panjang penuh satu board", patutlah aku ada nampak secebis kertas kuning kat belakang senarai nama tu. Ingatkan dorang malas nak buang kertas tu (berburuk sangka, hisyh banyak gila perangai buruk aku ni ye).
"Saya pun tahu hal ni dari mak cik kedai runcit tingkat lima tu. Saya selalu beli aiskrim popsikel kat situ. Saya suka borak dengan mak cik tu. Lebih kepada mendengar apa yang dia cakap sebenarnya. Mak cik tu tahu semua perkara. Dari berita sensasi benua belakang negara kita sampailah ke berita tergempar pejabat pengurusan kampus ni. Tapi saya rasa segan pulak kalau pergi kedai dia tak beli apa-apa", gadis popsikel menggosok pipinya yang merah padam. Sebab tu ke beli aiskrim popsikel?" Tanyaku.
"Salah satu sebab. Tapi sebab utama saya beli aiskrim tu, saya rindukan mak ayah saya. Dorang sekarang ni kat New York. Tengah sambung Phd kat New York University. Kalau dorang call mesti dorang akan suruh saya gantikan dorang makan aiskrim popsikel. Betapa sayangnya dorang kat sini sampai dah ada kat sana pun lebih rindukan aiskrim popsikel dari anak sendiri", kata-katanya membuat aku rasa terpukul. Dan seperti merasakan pukulannya mengena, dia menjelingku (setajam-tajamnya. Terpana jiwa seketika) sambil berkata:
"Kenapa? Awak fikir aiskrim popsikel untuk orang miskin je ke?"
Aku diam sambil makan jejari wafer bersalut coklat dengan perlahan (kalau laju-laju nanti tekak aku yang merana). Aku tak tahu kenapa (mungkin pengaruh iklan atau dia letak sesuatu dalam jejari wafer bersalut coklat) tapi saat jejari wafer menjadi kunyahan gigiku dan pada masa yang sama salutan coklat itu cair di lidahku, aku merasakan seperti aku melupakan segala yang memgusutkan kepala aku (termasuk LC Fire hitam keobsesan aku). Dan bila aku pandang kembali gadis popsikel, dia tersenyum seperti mengatakan 'Kan dah kata'. Masalahnya aku nampak senyuman dia seakan menyebabkan pelangi memancar dari atas kepalanya ke seluruh wajah. Baru aku perasan muka bujur sirih itu sebenarnya mempunyai mata hazel yang sungguh menarik. Bukan, 'menawan' adalah perkataan yang sesuai. Sesungguhnya hati aku sudah berada di dalam tawanan matanya dan kunyahan gigiku menjadi semakin laju, selaju debaran jantungku (kenapa aku jiwang tetiba ni? PARAH!).
Apabila kesemua jejari wafer bersalut coklat telah berjaya aku masukkan ke dalam mulut (yang aku rasa sangat sayang untuk aku habiskan), tiba-tiba lif kembali menolak graviti dari kaki aku dan pintu lif pun terbuka (kenapa cepat pulak sampai ni? Baru nak ayat awek. Kacau line sungguh!). Gadis popsikel terus keluar, pergi ke kedai runcit sebelah pejabat pengurusan, buka peti aiskrim yang ada di luar kedai (kitorang tak ada trust issue di sini) dan masuk ke dalam kedai. Manakala aku ke arah bertentangan berjalan dengan tenang ke bilik pensyarah. Pensyarah tahu tentang masalah maintenance di lif (kenapalah dorang tak buat maintenance masa cuti semester je) dan markah assignment aku takkan ditolak.Yahoo!!!
Dan sekarang aku ada satu assignment baru. Aku nak pikat gadis popsikel. Korang boleh tolong aku tak?
No comments:
Post a Comment