Sunday, April 22

Rumah Agam Tengah Taman Negara part 1

     Unggun api marak. Abunya berterbangan seumpama kelip-kelip merah mengharung di tengah-tengah rimba Taman Negara Bukit Bauk. Aliff, Che' Lah (teruna remaja lagi bergaya. Jangan tertipu dengan nama) dan Umar penunjuk arah mengelilingi unggun api marak sambil menghabiskan mee segera merah kuning perisa kari.

     "Aliff, apa program kita esok?" Che' Lah bertanya dengan mata biasan api di tengah kegelapan batang pokok sekeliling.

     "Okey, memandangkan aku ketua perangka dan perencana bertauliah Taman Negara Bukit Bauk, aku cadangkan kita pergi jungle trekking trek nombor 4. Amacam?" Tanpa perlu melihat kesemua muka sahabatnya, dia yakin lagi pasti mereka takkan menggeleng apatah lagi membangkang.  

   "Hish... Kau ni dalam banyak-banyak nombor, empat jugak kau pilih," Umar selaku orang berpengalaman bersuara.  

   "Yelah, aku check trek lain semua lapang takde semak samun. Yang tu je berbelukar terlebih. Boleh aku hayun parang baru aku," Aliff menunjukkan parang yang masih berbalut plastik siap ada tanda harga pasaraya hijau putih.  

   "Trek tu berbelukar bersebab, Aliff," kata Umar.    

  " Yeay!!! Tiba masa Umar bercerita. Kasi thrill sikit ini malam," Che' Lah yang buat lelah orang dengan makan paling awal dan habis paling lambat bercakap sebaik mangkuk plastik putihnya habis dihirup.

     Umar tidak melayan kegirangan Che' Lah mula bercerita. "Trek tu sama je sebenarnya dengan trek-trek yang lain. Yang membezakan adalah sebuah rumah yang terletak betul-betul di tengah Taman Negara ni. Rumah agam tiga tingkat yang dah lama tak digunakan. Pegawai kat Taman Negara sendiri pun tak tahu sejarah asal-usul rumah yang tak nampak rumah Melayu tapi dorang renovatelah jugak untuk kemudahan pelancong. Pada mulanya mendapat sambutan menggalakkan tetapi sejak kehilangan seorang remaja lelaki empat tahun lalu di trek nombor empat memang tak ada seorang pun yang berani menjejakkan kaki ke sana. Ramai yang mendakwa mereka mendengar bunyi besi berdenting dan suara menjerit kesakitan dari bilik bacaan. Ada juga yang cakap mereka nampak ada orang menyiang manusia di dapur. Ada jugak yang cakap jumpa anak patung bergerak dengan sendiri dalam bilik permainan. Ada pulak yang cerita semua bingkai gambar melayang sampai pecah tempurung kepala si penceroboh di ruang tamu dan macam-macam cerita yang aku pasti korang akan muntah balik apa yang korang baru je makan, " Umar yang bersuara gemersik itu bercerita secara hambar tetapi mereka yang lain meremang bulu roma.  

   Che' Lah mula menggenggam tangannya sendiri membawa genggaman tangannya ke muka hingga hampir menutup mata (tak padan dengan mamat).     

 "Kau gebang je ni kan? Kau malas nak join esok kan?" Aliff serkap jarang.

     Umar menghela nafas (buat habis vokal aku cerita dikatanya gebang). "Ikut koranglah. Aku cerita apa yang aku dengar. Kalau korang nak pergi jugak trek nombor empat tak dapat aku nak halang."  

   "Kalau macam tu kita stick jelah dengan trek nombor empat. Aku rasa baik kita tidur awal. Kang tak pasal-pasal tak sampai setengah jalan semput pulak esok," kata Aliff sebelum memasukkan mangkuk plastik putih yang masih bersisa kari segera ke dalam plastik hitam. Yang lain mengikut sama.  

   "Selamat malam semua," kata Aliff lagi sebelum menghilang ke dalam khemah biru tuanya. Che' Lah menguap membulat membentuk huruf o menggunakan mulutnya. Umar yang kasihan dengan Che' Lah dan kebosanan kerana Aliff telah merehatkan badan terlebih dahulu berkata.  

   "Adalah lebih baik kalau kau ikut jejak langkah Aliff tu. Aku dah kena pergi dah ni."

     "Eh! Kau tak ikut sekali esok?" tanya Che' Lah.     

 "Trek tu walaupun dah berbelukar masih ada tali. Lagi pun dengar orang cakap je pun aku tak berani nak pandang trek tu." Umar menaikkan semula gelang manik hitam yang hampir terlondeh di tangan kirinya.    

  "Takpelah Umar. Thank you tau!" Che' Lah masuk ke dalam khemah kuningnya dan Umar berlalu dari tapak perkhemahan tersebut. Dan unggun api pengeluar kelip-kelip merah semakin lama semakin malap hingga yang tinggal hanya dedebu kelabu di udara.

.................................................

       'Aku kat mana ni?' hati Aliff bertanya tanpa pasti jawapan harus dikerahkan dari siapa. Yang dia pasti dia terbaring di dalam sebuah bilik yang mempunyai siling yang sangat tinggi. Keadaan yang samar dengan bantuan cahaya bulan di tingkap membantu Aliff melihat bilik itu dengan lebih jelas.

     "Wah, banyaknya buku!" Aliff kagum. Dari paras lantai sehingga paras siling ada pelbagai buku disusun di atas rak yang sangat tinggi di setiap dinding yang ada di dalam bilik tersebut. Dia cuba menilik satu demi satu buku yang ada di atas rak tersebut tetapi disebabkan tiba-tiba bulan main sorok-sorok belakang awan menyebabkan Aliff meraba-raba buku yang ada. Pabila bulan muncul kembali dia dapati dia terpegang satu buku yang mempunyai lambang nombor lapan yang dilentangkan. Aliff cuba untuk mengambil buku tersebut tetapi tidak berjaya. Malahan gerak Aliff itu telah membuatkan sesuatu di dinding rak itu bergerak. Berhadapan dengan Aliff sekarang ini adalah sebuah bilik gelap yang berpintukan buku-buku sebanyak sembilan baris rak. Bunyi keriutnya seakan memanggil Aliff untuk masuk ke dalam bilik itu.

     "Menarik," itu sahaja yang terkeluar dari mulut Aliff sedang mata bercahayanya sangat teruja dengan teknologi yang digunakan. Sebaik sahaja Aliff masuk ke dalam bilik itu, pintu serta merta tertutup. Perasaan Aliff yang baru sahaja tertarik dengan bilik rahsia itu terus rasa terganggu, lebih-lebih lagi apabila tiba-tiba semua jamung di dalam bilik itu menyala dengan sendirinya.  

   Semakin menambah ketakutan Aliff apabila matanya dapat menangkap setiap lekuk dan warna objek yang ada di dalam bilik itu. Bilik itu dipenuhi dengan alatan seperti tukul, paku besi besar, pisau pemotong daging, kerusi yang mempunyai tungku tempat letak dapur atau arang di bawahnya dan juga satu tempat perbaringan menyerupai pangkin dengan tali di bahagian sisi tempat perbaringan tersebut. Kesemua objek yang Aliff lihat sudah berkarat dan ada di antaranya yang berlumuran darah kering.  

       Aliff meluru ke pintu tadi tetapi pintu itu tiada tombol dari dalam. Sedang Aliff berhempas pulas menendang dan menolak pintu itu, tiba-tiba ada satu tangan berkedut tanpa daging dengan kuku hitam comot dengan bau hanyir memerangkap mulut dan hidung Aliff. Saat Aliff terkejut meronta dengan hidung masih menahan bau busuk bangkai gagak dari tangan tersebut, pemilik tangan bangkai gagak itu dengan mudah mengheret Aliff yang tinggi ke tempat perbaringan bertali tadi.  

   Aliff yang mengerang kesakitan semakin kaget apabila tali-tali itu bergerak sendiri dan membelit kedua belah tangan dan kakinya. Semakin Aliff ingin melepaskan diri, semakin kejap tali itu merangkul kaki dan tangannya.  

   Waktu itulah Aliff dapat melihat pemilik tangan bangkai gagak. Rambutnya menggerbang putih panjang seperti sasterawan negara tersohor lagi berusia yang selalu melilau sekitar Kuala Lumpur, giginya jarang seperti pagar-pagar kayu yang selalu Aliff tonton dalam filem-filem Hollywood. Wajahnya berkedut seribu (mungkin usianya juga sama banyak dengan kedut di tubuhnya) dengan berpakaian seperti karung guni yang dikoyak dan dijahit semula merapati Aliff yang cuba mengelakkan hidungnya dari menghidu bangkai gagak lagi.  

   "Kamu tahu apa hukuman bagi seorang penceroboh?" kata lelaki bangkai gagak sambil tangannya menyentuh setiap inci wajah Aliff. Ketakutan Aliff semakin naik mendadak pabila tangan kasar lelaki bangkai gagak turun perlahan-lahan ke seluruh tubuhnya. Peluhnya semakin laju keluar apabila tangan itu berhenti di pinggang sebelah kanannya.    

  "Hmmm... Buah pinggang kamu sangat sihat. Memandangkan penceroboh seperti kamu memang tiada masa depan sebaik saja masuk ke dalam rumah agam Taman Negara ni, adalah lebih baik aku rasmikan dahulu," pisau kecil lagi berkarat sudah hampir dengan kulit Aliff. Nafas Aliff semakin kencang seolah dia baru selesai melakukan ujian kelayakan berlari 500 meter untuk sukan Olimpik. Peluhnya membasahkan keseluruhan pakaian yang telah diangkat sedikit oleh lelaki bangkai gagak di bahagian pinggang sehingga kelihatan kulitnya yang hitam manis.      

Saat pisau kecil lagi berkarat menembusi kulit hitam manis itu, Aliff menjerit kesakitan menjalar ke otak.

Posted via BlogPost

No comments: