Wednesday, September 12

BAJU KURUNG KATA

Kata terpinga. Diri Kata terlontar entah ke mana. Hanya empat dinding plywood bercat hitam menemaninya dalam ruang yang sungguh terhad. Jiwa kata meronta. Kata cuma ingat dia sedang menuju ke kedai mamak bersebelahan rumah sewanya apabila tangan sasa hitam manis menyekat rongga pernafasannya dari belakang. Kata cuba melawan dengan kudratnya sebagai seorang lelaki namun tangan sasa itu berjaya membuatkan Kata terkulai.

Dinding hitam ditumbuk diterajang. Akhirnya Kata terduduk kepenatan.

…………………………………………………………………………………………………………………………

Gudang gelap pinggir bandar menjadi saksi Baju dan Saia.

“Nah. Upah kau,” Baju melemparkan sampul coklat tebal pada Saia. Saia mengeluarkan satu ikat RM50 sebesar penumbuknya dari sampul tersebut. Dengan muka sangat berpuas hati, duit itu kembali dimasukkan ke dalam sampul coklat. Saia pandang Baju. Saia hampir menghamburkan ketawa bila Baju bertanya, “Kenapa?”

“Kenapa pakai macam ni?” Baju memakai gaun kembang era Shakespearre warna maroon dilapisi kain jarang warna hitam, lengan panjang ala Saloma. Rambut kerinting halusnya dibiarkan bebas dengan bungan ros terselit di telinga kanan. Baju pegang sampul coklat yang masih di tangan Saia.

“Kerja kau dah selesai. Aku tak bayar kau untuk buat apa-apa selain culik Kata.”

Baju melepaskan sampul coklat bila Saia mengerti. Saia terus keluar dari gudang gelap sambil bermain harmonika. Saia akui Baju gadis aneh. Dalam gudang gelap besar itu hanya diletakkan almari hitam antik dengan pintu sebesar dua pintu bilik tidur rumah banglo. Ukiran ros hitam terletak cantik di antara kedua pintu tersebut (rantai besi dan mangga perak besar mencacatkan keunikan ukiran tersebut). Kenapa perlu lelaki yang diculiknya sebentar tadi perlu dimasukkan dalam almari itu Saia tidak ambil peduli.

Dan almari antik hitam itu kembali mengganas pabila not pertama harmonika Saia memenuhi ruang gudang gelap.

…………………………………………………………………………………………………………………………

Bunyi irama tanpa sumbang ibarat satu cahaya menerangi dinding hitam yang mengelilingi Kata. Dengan harapan penyusun irama itu mendengarnya, dinding hitam itu kembali digegarkan.

“Ada sesiapa kat luar tak?! Tolong saya!” Irama itu semakin sayup dan hilang sebaik sahaja kedengaran kayu berlaga dengan kayu di bawah daya tarikan yang sangat kuat. Kata hampa.

“Tak guna kau melawan, Kata,” suara gadis muncul di tengah sunyi. Kata seperti pernah mendengar suara itu.

“Kau siapa?!”

“Kau tak ingat rupanya. Tak apa. Lagi bagus.”

“Kau nak apa?! Kalau pasal duit, sia-sia! Keluarga aku tak kaya pun!”

“Aku tahu. Tapi bukan sebab tu kau kat sini. Aku nak cinta kau,” Kata terkesima.

“Maaf. Kau terlambat. Aku dah ada kekasih.”

“Bayu tak guna tu kekasih kau? Apa yang ada pada dia yang tak ada pada aku?!” esakan gadis itu mengingatkan Kata pada teman karibnya yang hilang setahun yang lalu tiba-tiba muncul kembali dalam hidupnya.

“Baju? Kau ke tu?” Kata meneka dengan harapan sangkaannya meleset. Baju ibarat bidadari untuk Kata. Tak mungkin Baju akan buat begini padanya.

“Aku suka bau kau. Kau harum, sama ada kua baru lepas mandi atau bila kau berpeluh. Tapi sejak kau bersama Bayu, haruman yang aku rindu dari hangat tubuh kau selama ni dah tak ada. Yang buat aku terseksa bila hanya bau Bayu yang muncul tiap kali aku dengan kau. Aku hilang sebab aku nak cari balik haruman yang selalu aku bau tiap kali aku jumpa kau,” kata-kata itu mengingatkan Kata pada satu nostalgia.

…………………………………………………………………………………………………………………………

“Kata! Kenapa tukar minyak wangi? Tak best-lah bau dia,” komen Baju sebaik sahaja Kata melabuhkan diri di depan Baju berlatarkan kedai mamak tidak jauh dari rumah sewa Kata.

“Eh, mana ada aku pakai minyak wangi. Kau macam tak kenal aku pulak kan,” balas Kata.

“Tapi…” belum sempat Baju mengeluarkan hujahnya, tiba-tiba Bayu melalui meja mereka. Mata Baju membuntuti langkah Bayu sebelum merenung tajam Kata.

“Siapa tu?” renungan tajam Baju masih menembusi jiwa Kata.

“Bayu. Jiran sebelah,” jawab Kata bernada selamba.

‘Alamak. Kantoi…’ hati Kata berbisik. Hidung Baju memang tak pernah berbohong.

…………………………………………………………………………………………………………………………

“Baju, kenapa kau buat aku macam ni?” Kata melembutkan suara.

“Aku sayangkan kau. Aku sayangkan wajah gula-gula kapas kau bila kau blushing. Aku sayangkan bibir kau yang dah tawan hati aku. Aku sayangkan mimpi aku merasa kemanisan bibir kau. Aku sayangkan mata bercahaya kau tiap kali kau tengok muka aku. Aku sayangkan suara kau bila kau sebut nama aku. Aku sayangkan cinta kau yang aku pasti seharum tubuh kau bersemadi abadi dalam dakapan aku,” mendengar perkataan demi perkataan dari Baju sudah cukup buat Kata meremang.

“Aku sayangkan Bayu lebih daqri aku sayangkan kau,” jujur Kata mengatakan.

“Kalau macam tu, kau teruslah sayang dia. Sampai kau mampos!” Baju ketawa mengilai. Kata pasrah. Poket belakang diseluk. Dompetnya masih ada bersama satu barang lain. Kata tidak mengendahkan barang yang diletak bersama dompetnya. Dompet terbuka memaparkan senyuman ikhlas Bayu bersamanya.

Dengan muka tertanya-tanya poket belakang diseluk lagi. Kata merasakan ada sesuatu sebesar genggaman tangannya. Pabila dikeluarkan maka muncullah satu objek hitam bujur dengan perak memisahkan bahagian hadapan dan belakang objek hitam tersebut. Pemberian Bayu. Kegunaan ketika kecemasan. Tapi Kata masih tidak pasti bagaimana objek tersebut mampu membantunya dalam kecemasan seperti ini. Sehinggalah Kata menekan perkataan ‘push’ maka terkeluarlah mata pisau Rambo yang sangat tajam lagi berkilat. Mata pisau dimasukkan kembali. Muka Kata kini tiada perasaan.

…………………………………………………………………………………………………………………………

Baju ingin keluar dari gudang gelap apabila almari antik berukiran ros itu bergegar. Kali ini gegarannya sangat hebat. Gegaran yang terakhir menyebabkan pintu almari pecah dan rantai besi jatuh ke lantai gudang gelap.

Baju tidak mampu berganjak. Baju memandang wajah Kata yang sungguh berbeza dari Kata yang biasa. Tiada senyuman, tiada kata-kata. Bunyi derap kaki Kata mengiringi degupan jantung Baju. Dan degupan itu semakin kuat bila Kata berdiri betul-betul di depan Baju. Kelima jari kanan Kata menyentuh lembut pipi kiri Baju. Baju hilang dalam sentuhan Kata.

“Kau sayangkan wajah gula-gula kapas aku.”

Tangan kanan Kata perlahan-lahan turun memegang tangan kiri Baju lantas badan Baju dipusing membelakangi Kata.

“Kau sayangkan bibr aku yang dah tawan hati kau,” deru nafas Kata di belakang telinga Baju terus membuat dada Baju berombak. rambut Baju dei bahu kiri disuakan ke kanan, menampakkan leher hitam manis gadis itu. Leher Baju yang terdedah itu Kata kucup. Lama.

“Kau sayangkan mimpi kau merasa betapa manisnya bibir aku,” tanpa melepaskan tangan kanan Kata dari tangan kiri Baju, Kata bergerak mengadap Baju. Muka Baju menatap mata dingin Kata.

“Kau sayangkan mata aku bila aku tatap wajah kau,” Kata mengangkat dagu Baju merapatkan wajah mereka. Bibir Kata kini betul-betul di telinga kanan Baju.

“Baju… Kau sayangkan suara aku tiap kali aku sebut nama kau,” Baju tak dapat menahan perasaan.

“Sebut nama aku lagi,” pinta Baju, halus.

“Baju…” Kata merangkul tubuh genit Baju.

“Lagi…” suara Baju semakin tenggelam.

“Baju…” rangkulan Kata pada tubuh Baju semakin kejap. Tiada lagi ruang yang memisahkan tubuh mereka.

“Kau sayangkan cinta aku macam kau sayangkan haruman badan aku dan kau ingin dakap cinta aku sampai mati,” satu tusukan menembusi saraf tunjang Baju. Baju terlalu asyik di bawah belaian Kata sehingga Baju tidak mampu menjerit. Pisau yang masih melekat di belakang Baju Kata pulas hingga puas sebelum dicabut. Baju terbaring longlai dengan nafas semakin hilang.

“Aku dah buat apa kau nak,” bunyi derap kaki Kata semakin sayup. Baju gembira dengan hadiah kematian yang diterima dari Kata. Baju masih mendengar bunyi harmonika tatkala nafas terakhir Baju meninggalkan Baju dengan mata terbuka.

*Adaptasi dari lagu ‘Harum’ nyanyian Roze Kasmani yang diinspirasikan dari filem ‘Perfume: A Murderer Story’.

No comments: