Hujan lebat membasahi kawasan bangunan terbengkalai belakang kondominium kelabu. Zariff Mikail, Azmi Adnan dan Dani Zainal basah kuyup berlari mencari tempat berteduh. Dan bangunan terbengkalai belakang kondominium kelabu menjadi perhentian darurat mereka.
“Kan aku dah cakap jangan parking jauh sangat. Tengok! Kereta tak jumpa, kita pulak kena berteduh kat sini,” omel Zariff sambil mengipas jaket kulit hitam dan jeans hitamnya. T-Shirt Black Sabbath Zariff terselamat dari hujan, cukup untuk buat Zariff tarik nafas lega. Azmi yang berkemeja hitam dengan lambang ‘Avengers’ dipadankan dengan jaket coklat dan seluar jeans biru gelap memandang ke dalam bangunan terbengkalai yang sangat gelap itu.
“Zariff, sorilah. Kan parking kat dalam mahal. Aku nak jimat duit. Lagi pun, mana aku nak tahu hujan akan lebat macam ni,” kata Dani. Kemeja putih Dani sudah lencun menampakkan singlet hitam gambar rangka manusia hisap rokok atas kerusi raja manakala seluar slack hijau tuanya bertukar warna.
“Erm, korang! Apa tu?” mata yang Zariff dan Dani yang memandang hujan terus berpusing ke arah suara Azmi. Kelihatan Azmi sedang mendekati satu objek hitam yang tergantung dari siling bangunan terbengkalai tersebut. Objek hitam berbentuk bujur tersebut lebarnya boleh memuatkan seorang manusia.
“Dah macam kepompong ulat beluncas je aku tengok. Cuma entah berapa kali ganda lagi besar,” komen Zariff.
“Azmi, kau buat apa tu?” Dani ketakutan melihat Azmi dengan penuh kagum menyentuh kepompong hitam tersebut.
“Relekslah Dani. Aku cuma nak sentuh je,” Selamba Azmi menjawab.
“Jangan wei. Kita tak tahu apa benda tu. Kang tak pasal-pasal, kau yang sentuh, kitorang terbabit sama,” kata Dani.
“Aku setuju dengan Dani. Jom blah, kita tunggu hujan berhenti kat depan,” kata Zariff pula.
“Korang ni penakut betullah. Mengalahkan perempuan. Tengok ni,” Azmi menyentuh kepompong hitam. “Sangat berbululah kepompong ni. Lembut je. Panas pun panas. Boleh aku hangatkan tangan aku kejap.”
Azmi meletakkan kedua-dua belah tangannya ke atas kepompong hitam. Zariff dan Dani mendekati Azmi.
“Aku dah cakap tak a…”
Tiba-tiba Azmi ditarik masuk ke dalam kepompong hitam. Zariff dan Dani cuba untuk membuka kepompong tersebut tetapi semakin mereka cuba, semakin tebal lilitan kepompong hitam.
Mereka terdengar bunyi erangan Azmi dan seorang perempuan dalam kepompong itu. Erangan itu disusuli pula dengan jeritan kesakitan Azmi. Darah menitik keluar dari kepompong hitam yang kini telah bertukar ke warna merah.
Sebaik melihat darah sekelompok di bawah kepompong tersebut, Zariff dan Dani terus melarikan diri. Meredah hujan lebat meninggalkan kepompong yang baru sahaja ‘memerah’ Azmi.
…………………………………………………………………………………………………………………………
Setelah kepompong itu bertukar kepada warna hitam kembali, kepompong itu naik perlahan-lahan ke siling seperti lif. Bulu hitam yang menjadi menyangkutkan kepompong ke siling dimasukkan semula ke dalam kepompong menyebabkan kepompong itu jatuh. Belum sempat kepompong menghempap lantai konkrit, helaian bulu bulu kepompong itu semakin menipis, menampakkan bentuk seorang perempuan dalam usia 20-an.
Perempuan itu melompat menjauhi kelompok darah. Dengan jaket coklat, baju ‘Avengers’ dan seluar jeans biru gelap yang sangat besar dari badannya, dia berjalan dua, tiga langkah ke hadapan.
“Finally! Hujan dah berhenti. Untung aku tidur kat sini. Makan pun sedap,” dia berjalan ke pintu keluar. Tiba-tiba dia tersadung.
“Baju ni besar sangatlah,” dia mengomel. Setiap poket baju dan seluar diselongkar. Dompet dengan kad pengenalan Azmi Zainal ditemui bersama lapisan not RM 50 yang sangat tebal dan beberapa kad kredit.
“Mujur dompet mamat ni berkepok dengan duit. SHOPPING TIME!!!” dia ketatkan tali pinggang dan sinsing lengan baju dan seluar. Kelihatan tattoo dengan perkataan ‘BB04’ kelihatan di lengan kirinya. Dia terpandang satu tompokan darah sebesar lopak betul-betul di bawah kepompong hitam tadi.
“Opss, sebelum terlupa,” rambut panjang paras bahunya di sebelah kanan tiba-tiba memanjang. Rambut yang memanjang tadi menyusur bagai ular ke arah tompokan darah. Rambut itu seperti menghirup darah di situ sebaik sahaja rambut itu sampai ke tompokan darah. Tiada setitis yang tertinggal, termasuk darah kering.
Sebaik darah habis ‘dihirup’, rambut panjang menyusur tadi kembali menjadi rambut panjang paras bahu. Dia sendawa kekenyangan.
“Complettamente,” kata dia dengan senyum puas sebelum keluar dari bangunan terbengkalai belakang kondominium kelabu.
No comments:
Post a Comment